BAB 1
"Sayang
ku mungkir pada kejujuranmu, menolak segala bahgia dihadapanku, kasihku mungkir
pada kata janjiku, berlari aku jauh dari cintamu, ku kesali... ," mendayu
nyanyian Sarah yang sedang memandu mengikuti alunan lagu di radio.
Tanpa dia sedari,
ada airmata yang jatuh menuruni pipi. Hatinya rasa berat. Sebak. Entah mengapa
sejak akhir-akhir ini dia terasa begitu mudah tersentuh.
Radio
keretanya dimatikan. Signal kanan dinyalakan. Segala pemanduannya berlaku
mengikut naluri dan deria bawah sedar. Sedangkan otaknya menerawang entah ke
mana.
Imbasan zaman
remaja. Sekejap di sekolah tahfiz. Sekejap rumah walid. Menyinggah di semua
tempat yang ada wajah dia. Tempat akhir sekali di dewan berlangsungnya
pernikahan.
Bukan
pernikahan Sarah. Tapi pernikahan Khalid. Hatinya membengkak. Hilang rasa. Rasa
kebas. Jiwanya kosong. Marah yang tak terluah. Sedih yang tak terungkap. Rasa
dikhianat dan di bohongi. Rasa berdosa kerana berharap pada janji seorang
Khalid.
'Dia yang
mungkir. Tapi aku kah yang salah ?' getus hatinya.
Tadi Khalid
datang lagi ke pejabatnya. Khalid masih tidak puas hati dengan kata maaf dari
Sarah.
"Sarah,
saya tak percaya awak boleh maafkan saya macam tu aje. Saya buat salah besar
Sarah. Saya janji nak kahwin dengan awak, tapi saya nikah dengan orang lain.
Awak patut marah saya," ucap Khalid sambil mengekori Sarah yang menuju ke
tempat letak kereta.
Sarah jadi
geram. Apa lagi yang Khalid mahukan jika bukan kata maaf?
"Habis
tu awak nak saya buat apa? Pukul awak? Kalau saya bunuh awak sekalipun, parut
kat hati ni tak kan hilang Khalid. Baliklah. Awak ada isteri untuk
dilayan," ucap Sarah lalu masuk ke dalam kereta.
"Sarah!"
jerit Khalid sekuat hati.
Tanpa peduli,
Sarah terus memandu keretanya pulang. Dia tinggalkan Khalid yang masih menjerit
memanggil namanya.
Sarah
sebenarnya masih keliru dengan Khalid. Namun dia belum bersedia mahu mendengar
cerita sebenar dari Khalid.
Apa yang dia
tahu, Khalid berkahwin dengan Nina bukan paksaan sesiapa. Khalid yang mungkir
untuk bahagia dengannya.
‘Sampai hati
awak Khalid. Awak janji dengan saya, awak minta saya untuk setia, tapi awak
lupakan macam tu aje. Dan saat saya berusaha untuk terima yang awak bukan milik
saya, awak kembalikan semula harapan pada saya. Apa awak nak sebenarnya?’
hatinya merintih.
Tanpa sedar
basah sudah pipi Sarah dengan air mata. Dia memberhentikan keretanya di hadapan
pagar rumah. Namun dia tidak mampu menghentikan air matanya yang terlalu laju
mengalir.
Bunyi azan di
telefonnya membuatkan dia tersentak. ‘Allahuakbar! Dah maghrib. Aku hanyut
dengan cinta yang menghancurkan hati. Sedangkan yang memegang hati ini aku
abaikan.’
Bingkas Sarah
keluar dari kereta dan masuk ke dalam rumah. Selepas membersihkan diri, Sarah
mendirikan solat maghrib. Habis solat dan zikir yang panjang, Sarah mengambil
Al-Quran. Kemudian ada bunyi notifikasi di telefonnya.
'Ah,
nantilah. Hati ini sedang tidak tenang. Aku nak mengaji sekejap,' bisik hati
Sarah.
Selesai
menghabiskan 4 muka surat Sarah menyimpan Al-Quran dan mengambil telefonnya.
Ada mesej dari nombor yang tidak dikenali.
"Kau
jangan layan Khalid tu Sarah. Kalau kau cair juga dengan pujukan dia,
bersedialah untuk bermadu dengan aku."
Mesej itu
tidak bernama, tapi sudah pasti Sarah boleh mengagak siapa yang menghantarnya.
Sarah mengabaikan mesej itu dan menyimpan telekungnya. Kemudian telefonnya
berbunyi.
Ibu!
Sarah telah
menggunakan lagu khas untuk panggilan ibunya. Tanpa berlengah dia menjawab
panggilan.
“Assalamualaikum
ibu,” ucap sarah manja.
“Waalaikumsalam.
Sarah dah solat? Dah mengaji?” laju pertanyaan dari ibunya.
“Dah bu,
beres,” balas sarah sambi tersenyum walau ibunya tidak nampak akan senyumannya
itu.
“Alhamdulillah.
Makan apa malam ni?” tanya ibu lagi.
“Malas nak
makanlah. Tak ada selera. Nak tidur terus lepas isya ni,” jawab Sarah panjang
lebar.
“Haaa, ni
mesti ada hal ni. Khalid kacau lagi ke?” tebak ibu dihujung talian.
Sarah hanya
diam.
“Betul lah tu
kan? Dia cakap apa lagi dengan Sarah tu?” suara ibu agak geram.
“Hmm, biarlah
dia ibu. Malas lah nak cerita pasal dia. Ibu dengan Walid sihat?” Sarah cuba
mengalih cerita.
“Sihat je
kami ni. Sarah tak nak balik kampung ke? Balik terus. Ibu dengar, ada
kekosongan jawatan guru mengaji kat sekolah agama ni. Tak payah lah nak kerja
gaji besar sangat. Kita hidup tinggal tiga beranak ni je. Cukup je hasil kebun
Walid kalau Sarah tak kerja pun.”
Panjang lebar
pujukan ibu.
Sudah
beberapa kali ibunya mengajak Sarah pulang ke kampung. Dulu alasannya di
kampung tidak ada kerja boleh dibuat. Kali ini, ibu siap cerita tentang jawatan
kosong pula.
“Alah bu,
malulah Sarah tetiba nak jadi ustazah. Tak nak lah.” Begitu jawapan Sarah. Dia
bukannya apa, dia tahu apa yang orang kampung selalu bercakap belakang tentang
dia. Tidak mungkinlah dia mahu pulang dan menjadi ustazah pula nanti.
“Kamu tu
dengar sangat cakap orang kampung kan. Tak berapa orang sangat lah yang
bercakap tu Sarah. Ramai aje yang tak ambil kisah,” balas ibunya pula.
“Hmm,
nantilah bu, Sarah fikir dulu. Ok lah bu, kirim salam Walid ya, nanti hujung
bulan, lepas gaji, Sarah balik tau.” Katanya segera menghentikan perbualan.
“Ya lah. Jaga
diri tu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam
bu.” Sarah menghentikan perbualan.
=============
Pagi itu,
dipejabatnya ada Kuliah pagi. Setaip khamis, bos Sarah akan panggil seorang
ustaz untuk menyampaikan kuliah. Kuliah pagi itu menyentuh tajuk “Hati”.
“Hati ini
boleh kita pandu jika kita tahu caranya. Bukan kita yang ikut kata hati.
Sentiasalah berdoa kepada Allah yang memegang hatinagar tetapkan hati kita.”
Begitulah ucapan terakhir ustaz tadi. Itu sajalah yang Sarah sempat dengar
kerana dari saat dia sampai ke pejabat, dia asyik ke tandas. Perutnya meragam.
Mungkin kerana dia tidak makan malam tadi.
Semasa keluar
dari surau, tempat kuliah berlangsung, Sarah terkejut bila namanya dipanggil.
“Sarah?”
Sarah yang
masih sedikit pening kerana melayan perut tadi menoleh.
“Eh, Akhi
Uwais?” ujar Sarah dengan mata bulat.
“MasyaAllah,
Dekat sini rupanya awak menyorok.” Ujar lelaki itu yang dipanggil Akhi Uwais
oleh Sarah.
Sarah hanya
tersenyum.
“Akhi ke yang
berceramah tadi?” soal Sarah.
“Iya.
Dipanggil pula. Segan ana ni. Bukanlah ana ni pandai sangat. Tapi, Bos Sarah ni
sebenarnya abang ipar ana.” Balasnya menepuk bahu Bos Sarah.
“Oh ya ke.
Tak sangka kecil sangat dunia ni. Masih guna ana-ana lagi ya?” ujar Sarah
selamba.
“Eh, lupa
pula. Bila jumpa kawan belajar, automatik keluar sendiri. Hehe.” Balas Uwais.
“Oh, sama
tempat belajar ke?” Soal Bos sarah agak terkejut.
“Tempat
belajar je sama. Tapi tak sama bidangnya.” Balas Sarah lagi.
“Ya betul
tu.” Si Uwais mengiyakan.
Uwais itu
sebenarnya lelaki yang dia kenali semasa belajar di luar negara. Hari pertama
Sarah sampai di Jordan, dia langsung tidak tahu mahu tuju ke mana. Uwais lah
yang menjadi wakil dari Universiti untuk menjemputnya di lapangan terbang.
Kemudian baru
dia tahu Uwais adalah pelajar tahun akhir dan telah berkahwin di Jordan. Mereka
sudah pun ada anak ketika itu. Pasti sudah besar anak-anaknya sekarang.
Sarah minta
diri kerana perlu masuk ke pejabatnya. Hari ini, dia perlu bekerja di luar
pejabat. Dia perlu mencari keberadaan saksi untuk kes yang bakal dibicarakan
dua minggu lagi. Kes suami berpoligami namun lepas tangan, naik tangan dan
tidak bertanggungjawab.
Kadang-kadang
Sarah rasa geram dengan lelaki-lelaki yang ada kes seperti ini. Ada sebahagian
tu bukannya tidak ada ilmu agama, malah ada yang bergelar ustaz pun tak lari
dari masalah cerai-berai, lepas tangan dan tidak bertanggungjawab. Apa mereka
ingat dunia ini dunia mereka untuk berbuat sesuka hati kah?
Haish! Panas
pula hati Sarah. Dalam perjalanan menemui saksi, dia mendapat panggilan dari
pihak pejabat kerana ada seorang client baru ingin berjumpa dengannya.
Maka sarah
janjikan untuk bertemu selepas dia buat perjumpaan dengan saksi yang dia cari
itu.
Alhamdulillah,
saksi telah ditemui dan memberi kerjasama dengan sangat baik. Habislah kau
lelaki tidak bertanggungjawab. Ada saksi bakal bawa keterangan padu. Kau tunggu
nasib kau.
Sarah terus
menuju ke restoran yang berdekatan dengan pejabatnya, di situlah dia telah
berjanji untuk bertemu dengan client tadi. Dia akan berbual sambil mengisi
perut. Lapar bukan main.
Dia mengambil
kedudukan meja yang paling hujung dan agak terselindung dari pelanggan lain.
Memang biasanya jika berbual dengan client, dia akan pilih meja itu.
Elok saja nasi
ayam dan air tembikainya sampai, clientnya pun sampai.
“Assalamualaikum
cik.”
“Waalaikumsalam,
jemput duduk er Puan...?” balas Sarah sambil menanti nama dari client.
“Doktor
Nina.” Jawab wanita itu. Dia duduk berdepan dengan Sarah.
Berkerut dahi
Sarah bila memandang wajah wanita ini. Wajahnya sangat mirip seseorang yang
Sarah pun tidak ingat siapa. Tapi dia pasti ada seseorang yang dia pernah
jumpa.
“Saya isteri
Khalid. Doktor Khalid,” ujarnya.
Berderau
darah Sarah. Jantungnya terus berdegup kencang. Hatinya tiba-tiba terasa sakit.
“Kenal kan?”
soalnya.
Sarah menelan
air liur. Kini dia telah ingat siapakah wanita ini. Iya, memang isteri Khalid.
Walau baru sekali dia melihat wajah itu, dia masih belum dapat lupakannya.
“Oh, kenal
rasanya. Tapi ada apa nak jumpa saya?” dia berjaya mengawal emosi. Sarah cuba
terlihat profesional.
“You jangan
fikir I nak bercerai dengan dia pulak,” ujarnya sambil tersenyum sinis.
Kali ini,
Sarah amati wajah wanita ini dengan sebaiknya. Wajah yang kini menjadi tatapan
Khalid setiap hari. Matanya bundar, coklat cair, rambutnya disanggul rapi,
hidungnya mancung, bibir seksi seperti Angelina Jolie, pipinya nampak gebu dan
kemerahan, bukan kerana solekan. Solekan yang digunakan memang agak tipis.
Kulitnya cantik, licin dan bersih.
‘Ah!’ keluh
Sarah di dalam hati. Memang lah Khalid terpikat. Muka ala-ala artis.
“You tak
payah tengok I macam tu. I tau I cantik. I tau you jealous,”ucapannya dengan
nada suara mendatar namun keras dan penuh keyakinan .
“Hmm,” Sarah
juga membalas sedikit sinis. Namun tidak dinafikan, ada sedikit rasa cemburu di
hatinya. Patutlah semudah itu Khalid lupakan dia.
“I nak you
dengar apa yang i nak cakap ni betul-betul,” ucap Nina sambil membetulkan
duduknya. Kemudian dia menyambung lagi.
“I nak you
kahwin dengan Khalid.” Katanya.
Hampir
tersembur air tembikai yang baru Sarah sedut. ‘Biar betul dia ni?’
“Maksud
awak?” soal Sarah penuh tanda tanya.
“Kita
bermadu,” jawab Nina selamba.
Berkerut dahi
Sarah. Tersandar. Kusut terus fikirannya.
“Saya tak
faham. Untuk apa?” tanya Sarah minta penjelasan.
“Untuk
Khalid. You see, I am not the type to cook, to iron and kemas rumah all that.
So Khalid a bit annoyed. Since Khalid dah terkejar-kejarkan you sangat, and i
think perempuan kampung, low standard macam you ni memang akan sesuai sangat to
be that kind of wife right? I think you love to do all that sort of thing.”
Jawabnya panjang lebar.
Panjang juga
nafas yang perlu Sarah tarik.
Nina ini
sangat berterus terang. Tidak sanggup untuk tunggu dia habiskan ayat, Sarah
bangun.
“Well, Doctor
Nina. I am really sorry to know that Khalid is annoyed with you but no. I am
that kind of woman if i am married to someone who love me. And i don’t think
Khalid love me, so he do not deserve my devotion.” Jawab Sarah dan terus berjalan
meninggalkan Nina.
“Well, i
percaya you akan cair juga dengan pujukan Khalid nanti. He is very good in
words you know. I am waiting for your big day,” ucap Nina dengan suara sedikit
tinggi. Mungkin untuk memastikan Sarah boleh mendengarnya.
‘Gila lah perempuan
ni!’ pekik Sarah dalam hati.
'Tak boleh ke
mereka tak kacau hidup aku? Aku tak pernah nak kacau hidup mereka pun. Apa gila
perempuan tu? Psiko ke? Dah pemalas, nak suruh aku jadi hamba pulak ?'
Bebel Sarah
di dalam hati.
Benar, Sarah
masih sayangkan Khalid. Tapi dia sedar dia tidak patut merebut cinta Khalid.
Tidak semudah itu dia mahu terima 'pinangan' dari isteri Khalid.
Dia bukan
gilakan Khalid. Khalid sudah jadi kenangan dalam hidupnya. Dia telah redha
dengan ujiannya. Dia telah berusaha menghilangkan rasa cinta dan sayang kepada
Khalid dengan pelbagai cara.
Sampai di
pejabat, langkah Sarah terhenti.
Dia ditegur
oleh seseorang.
"Dah
selesai urusan ya?" Allah. Dia kenal suara itu.
"Astaghfirullahal'azhiim,
apa masalahnya lagi ni Khalid ?" bentak Sarah.
0 Ulasan