SAHAJA AKU JATUH CINTA : REVIEW




Pernah dulu semasa mengandungkan anak ke enam, tahun 2015, aku sudah pun pilih nama Ammar jika anak ku itu lelaki.


Waktu itu, masyarakat islam dunia dan penduduk Malaysia dan Turki khasnya baru setahun lebih mengambil ibrah dari kematian seorang pelajar Malaysia yang dikatakan syahid pada akhir 2013.
Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan sahabat Rasulullah S.A.W, Abu Ayub Al-Ansari r.a.

Aku sangat tersentuh, teruja, tertampar, terbangun dengan kisah pemuda ini. Sehingga berhajat meletakkan nama anak yang bakal lahir dengan nama Ammar juga. Nama Ammar juga nama Sahabat Rasulullah, yang syahid dalam peperangan dan ibunya pula wanita pertama syahid dalam islam.

Namun Allah telah pun menulis semuanya di Luh Mahfuz. Lahirnya anak ke enam, lelaki dan aku namakan Umar sempena sahabat baginda juga.

Nama Umar juga antara nama piliham aku kerana sangat bahagia mengetahui kisah keberanian sahabat yang seorang ini dalam menyebarkan dan mempertahankan Islam.

Berbalik kepada kisah Ammar. Aku teringin mengetahui bentuk didikan yang bagaimana diterapkan dalam dirinya.

Minggu lepas, Bonda Nor telah membuat promosi di mana , beli dua bukunya yang lain, dan percuma buku Sahaja Aku Jatuh Cinta.
Buku itu antara yang berada dalam 'wishlist' aku. Jadi memang aku tak lepaskan peluang.

Helaian demi helaian aku baca, sangat menyentuh jiwa. Bagaimana seorang wanita yang melahirkan seorang Ammar itu bukan lah baik hanya bila anaknya berada di dalam kandungan.

Dia telah pun meletakkan dirinya di jalan yang benar sejak zaman muda, zaman bujangnya.

Bila dia menerima pinangan bersyarat yang memerlukan dia menyerahkan suami, keluarga dan anak-anak yang bakal ada sepenuhnya kepada Allah, dia tidak pernah membayangkan apa kisah masa depannya.

Apa yang penting, dia tahu, jalan dakwah itu jalan yang benar, dan perlukan pengorbanan.

Bila melepaskan anaknya di bumi Turki, bukan dia melepaskan untuk anaknya kembali kepadanya. Tetapi dia melepaskan anaknya untuk Rabbnya.

Buku ini tidaklah ditulis seratus peratus mengikut cerita sebenar, namun cerita utamanya tidak lari untuk dijadikan ibrah.

Seharian aku menghabiskan bacaan, cukup menghidupkan jiwa ibu aku ini. Sambil mengikuti kelas online bersama ticer Dhuha, aku sambung bacaan setiap waktu rehat.

Maka bertimpa-timpa ilmu Allah beri pada aku hari ini.
Sesungguhnya, ilmu tidak hadir jika tidak di cari. Mohon ilmu yang Allah beri adalah ilmu yang diberkati.

Ayu Rashidah @ Cik Ayu

Nama sebenar Cik Ayu ialah Rashidah, tapi mak ayah dah panggil Ayu dari kecil lagi. Dah berusia 40 tahun pun. Ok, Cik Ayu berbisnes di rumah saja. Di Ulu Tiram, Johor. Bisnes utama ialah Freelance Designer/ghostwriter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan