Riya' di media sosial

 Bila kita berkongsi dan memberi di Facebook contohnya, tentu saja kita suka bila apa yang kita kongsikan itu mendapat respon Like, ada komen, dan ada juga yang Share. Ada rasa hati berbunga?

Sejak kebelakangan ini, aku asyik digerakkan oleh Allah untuk membaca, mendengar ceramah dan memahami lebih dalam lagi tentang riya.
Riya' ini menakutkan kawan. Ia lebih seram dari ujub. Ya ujub adalah cabang syirik dan begitu juga dengan riya'. Dari ujub boleh pergi kepada riya'.
Riya ini apa? Untuk mudah faham lah, riya' adalah seseorang berbuat baik semata mahu mendapat pujian, penghormatan. Pendek kata hanya mahu terlihat bagus di hadapan manusia.
Kalau ujub, dia rasa kagum dengan diri sendiri, dalam diri dia saja rasa itu.
Tetapi bila riya', dia mengharapkan orang lain nampak kebaikan dia. Dia mengharap orang lain hormat dia atas kelebihan yang dia ada.
Perbuatan riya’ termasuk ke dalam syirik kecil sehingga dilarang oleh agama Islam dan hukumnya adalah haram.
Dari Mahmud bin Labid, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya yang paling ditakutkan dari apa yang saya takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil), maka para shahabat bertanya, apa yang dimaksud dengan asy syirkul ashghar? Baginda menjawab: “Ar Riya’.”
Contoh mudahnya kita lah ya.
Bila kita berkongsi perkara baik, kita berharap ada yang baca. Kita berharap ada engagement. Salah ke?
Ia bergantung pada niat.
Apa niat kita bila kita buat posting. Adakah benar-benar berkongsi kebaikan kerana Allah, kerana nak sebarkan manfaat.
Adakah kita mengharap populariti, dan mencari nama? Biar orang tahu kitalah yang baik dan banyak ilmu?
Cuba kita semak diri kita. Apa perasaan kita bila kita post sesuatu tu kemudian tak ada yang like, tak ada yang komen dan share. Adakah kita terus lemah semangat, putus asa, dan tak mahu berkongsi lagi?
Mesti ada yang cakap, eh, kalau kita tulis, mestilah kita nak orang baca kan? CA pun biasa fikir begitu juga.
Ustazah Asma Harun pernah sampaikan pada kami peserta bengkel penulisan online Bonda Nor beberapa bulan lalu.
Katanya, perkara pertama kita kena buat sebelum menulis, atau post, semak NIAT dulu. Niat ini sangat penting untuk memastikan kita punya pengakhiran kawan.
Rasulullah SAW bersabda yang ertinya;
“Sesungguhnya amalan itu tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya amalan seseorang itu akan dibalas sesuai dengan apa yang ia niatkan.” (Muttafaqun ‘alaihi).
-----------------------
Okey, aku nak share kat sini ciri-ciri orang yang riya supaya kita semua lebih jelas :
1.Serius dan giat bekerja ketika mendapat pujian, dan sebaliknya, akan malas jika tidak ada yang memerhatikan atau tidak ada yang memberi penghargaan. Malah makin melepaskan tanggung jawab atas pekerjaan tersebut apabila ada orang lain yang mencela.
2.Saat bekerja berkumpulan akan sangat bersemangat dan profesional, namun menjadi sangat malas saat mengerjakan sesuatu sendirian.
3.Ketika berada dihadapan orang ramai akan selalu mengawasi diri daripada perbuatan yang melanggar perintah Allah SWT. Sebaliknya, saat orang lain tidak melihat maka akan melakukan perbuata-perbuatan yang tercela.
Jelasnya riya ini tidak mengharapkan pandangan Allah. Tidak memikirkan keredhaan Allah. Ia mengharapkan penghormatan netizen, rakan sekerja, pendek kata, manusia.
Maka dia mensyirikkan Allah dengan manusia yang mana kita tahu syirik itu adalah dosa besar
----------------------
Riya’ boleh muncul dalam diri sesiapa sahaja walaupun golongan soleh dan solehah.
Dalam sebuah hadits dari Abu Hurairah RA, dan diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW memberitahu tiga golongan yang pertama kali dihisab dan terus dilemparkan ke neraka. Mereka adalah :
Mujahid yang mati syahid, berperang kerana mahu terkenal hebat di kalangan manusia
Golongan yang mempelajari dan mengajarkan ilmu, mahu mencari penghormatan manusia
Orang yang bersedekah, untuk mencari pujian dan sanjungan dari manusia.
Allah SWT berfirman yang ertinya;
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya’ kepada manusia.” ( Al-Baqarah : 264).
“Sesungguhnya orang-rang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan jika mereka berdiri untuk shalat mereka berdiri dengan malas, mereka bermaksud riya’ (dengan shalat itu) dihadapan manusia, dan tidaklah mereka zikir kepada Allah kecuali sedikit sekali.” ( An-Nisa’ : 142)
----------------
Membahaskan soal riya' sebenarnya panjang. Apa yang penting, kita sentiasa beringat agar diri terjauh dari riya'.
Utamakanlah pandangan Allah daripada pandangan manusia. Jauhi syirik.
Di sini aku kongsikan doa yang boleh diamalkan untuk menghindarkan diri dari perbuatan syirik.
DOA AGAR TERHINDAR DARI PERBUATAN SYIRIK
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ
Allahumma inni a'u dzubika an usyrika bika wa ana a'lam wa astaghfiruka lima laa a'lam.
Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik yang aku sadari. Dan, aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui.
(Hadis Riwayat Ahmad)
Semoga Allah pelihara hati dan iman kita semua.

Ayu Rashidah @ Cik Ayu

Nama sebenar Cik Ayu ialah Rashidah, tapi mak ayah dah panggil Ayu dari kecil lagi. Dah berusia 40 tahun pun. Ok, Cik Ayu berbisnes di rumah saja. Di Ulu Tiram, Johor. Bisnes utama ialah Freelance Designer/ghostwriter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan