Kenapa kena bisnes online?

 



Tahun lepas, saya dah tak mahu buat bisnes online lagi sebenarnya. Rasa penat. Ada sebabnya, tapi saya tak mahu cerita. Saya hanya tenang-tenang.


Saya kata pada suami, tak nak dah jual apa-apa lagi. Nak menulis, nak berkongsi sesuatu yang baik saja untuk kawan-kawan. Suami pun okey saja.

Lepas tu PKP pertama pun bermula. Anak mula lah berkumpul di rumah berbulan-bulan. Mula-mula okey, seronok! Tak penat nak ulang alik.

Lepas tu mula lah rasa resah dalam diri. Tak buat apa tu buat saya rasa resah.

Suami tak bekerja sepanjang PKP tahun 2020 sehingga lah December kerana tidak boleh. Kerja dia freelance driver untuk Van VIP. Tiada yang boleh travel, nak drive ke mana?

Bisnes Part time yang dia buat, menjadi agen untuk sebuah Telco Provider dapatlah juga membantu serba sedikit.

Heboh group Masak Tak Jadi tu, banyak resepi saya nak cuba tapi, bahan terhad. Saya cuba berjimat dengan apa yang ada.

Ada beberapa job design masuk. Adalah sedikit duit tambahan.

Sebenarnya, sejak saya berkahwin, saya dan suami tak pernah bergaduh tentang duit. Jika ada lebih suami akan cukupkan keperluan. Jika kurang, saya pun tidak akan meminta-minta. Cuba memahami keadaan, dan cuba lah buat apa yang boleh selagi suami dan anak-anak okey.

Waktu kami "ada", suami tak pernah pun kedekut. Jadi memang kami tak pernah bergaduh hal duit, hal rezeki. Semua Allah atur, itulah yang kami percaya. Hatta dalam poket tinggal RM10 pun kami masih letak kepercayaan kepada Allah yang mengaturkan segalanya.

Sebenarnya, terlalu banyak kekuasaan Allah tunjukkan kepada kami yang tak mampu saya nak ceritakan.

Hidup ini ibaratnya kita berada di atas bara api yang penghujungnya ada sungai yang sejuk. Berjalan diatasnya tidak boleh gopoh dan tidak boleh tanpa strategi juga tidak boleh tinggalkan sabar. Semua mesti disatukan.

Entah mengapa saya digerakkan mengikut kursus penulisan dari dua penulis yang sangat tersohor iaitu Tuan Zamri Mohammad dan Bonda Nor.

Kemudian, ada satu perkara yang pernah mengganggu fikiran saya.
Kematian.

Berita kematian suami beberapa orang kenalan buat saya belajar. Ada juga dengar berita suami di duga strok secara tiba-tiba. Dari beberapa cerita yang saya lihat, dengar dan perhatikan, saya ada jawapan dari satu persoalan.

Saya perlu terus berbisnes online. Andai satu hari sesuatu terjadi dan saya perlu menjadi kekuatan dalam keluarga ini, saya tak boleh keluar bekerja makan gaji. Saya ada ramai anak yang perlu di uruskan transport. Yang masih kecil juga ada.

Saya perlu ada sesuatu yang saya buat untuk saya bersedia. Supaya saya boleh teruskan kehidupan tanpa ada rasa blur. Tak tahu nak buat apa.

Iya, saya yakin, dan berpegang kepada takdir Allah. Itulah saja yang mampu saya lakukan sebagai manusia. Membuat sesuatu yang saya tahu dan mampu kemudian berserah sepenuhnya kepada Allah.

Insurans? Kami tak pernah ada pendapatan tetap. Tak mahu lah ada bayaran bulanan yang kadang buat kami tertekan.

Perlindungan kami hanya minta dari Allah. Cukuplah Allah buat kami.

Buat sahabat wanita, sementara dunia online masih lagi "hidup", manfaatkan dengan sebaiknya. Tak rugi bisnes online.

Yang penting carilah ilmunya.

Ayu Rashidah @ Cik Ayu

Nama sebenar Cik Ayu ialah Rashidah, tapi mak ayah dah panggil Ayu dari kecil lagi. Dah berusia 40 tahun pun. Ok, Cik Ayu berbisnes di rumah saja. Di Ulu Tiram, Johor. Bisnes utama ialah Freelance Designer/ghostwriter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan