“Besarnya perut awak kali ni ye yang.” Kata Amar sambal
merenung perutku yang semakin membulat.
“A’ah bang, bayangkan, hari tu baru 8 bulan dah 2.2 kg
anggarannya. Esok check up, entah berapalah berat anggarannya nanti. Anak yang
dulu-dulu tak macam ni, sakit sangat rasa pinggang ni.”
Amar senyum memandang ke arah ku. Aku mengerti senyumannya.
Dia gembira. Keluarga kami semakin membesar. Dia sudah punya tiga orang anak
perempuan dari perkahwinannya sebelum ini. Isterinya meninggal dunia lebih
kurang 12 tahun lalu. Bersama aku, kami telah dikurniakan dua anak perempuan.
Aku dan dia hidup tenang bersama semua
anaknya di dalam satu rumahtangga yang normal.
Aku meninggalkannya dan keluar untuk menyambung kerja-kerja
mengemas. Amar pula terus ke bilik mandi untuk membersihkan diri.
Sedang aku khusyuk mengelap meja makan kesayangan Amar, aku
tersentak dengan deringan telefonnya yang ada di atas meja itu. Ada mesej. Ku
capai untuk memberikan kepada Amar dan sempat ku lihat nama yang tertera,
SM012. Aku tahu siapa itu, Siti Maslinda. Amar masih di dalam bilik mandi. Hampir
aku menekan butang Read. Tapi aku yakinkan diri, aku wajib amanah dengan
suamiku. Biarlah Allah yang mengawal segalanya. Aku beristighfar untuk
menenangkan diri dan menyambung kerjaku. Tak sampai berapa minit, telefon itu
berbunyi lagi, tapi kali ini panggilan, dari orang yang sama. Bergegas pula Amar
keluar dari bilik untuk mendapatkan telefonnya. Deringannya mati.
‘Nak apa agaknya anak dara tu dengan laki aku.’ Getus hatiku
Ku biarkan gelagat suamiku yang sedang cuba menghubungi SM semula. Aku cuba mengawal gejolak hati
yang mula bergelora. Ku ingatkan semula diriku sendiri, ‘jika satu hari nanti
hubungan mereka hingga ke peringkat pernikahan, aku mesti terima dengan redha. Siapalah
aku untuk menghalang. Ya Allah, semoga aku mampu menerima takdirMu.’
Aku berjaya mengawal emosi, Alhamdulillah. Amar yang sudah
bersiap untuk keluar, cuba bergurau senda denganku. Mungkin dia rasa bersalah
dan risau aku akan terasa hati. DugaanMu ya Allah, sedangkan, baru semalam kami
meraikan ulangtahun perkahwinan kami yang ke 8. Bila Amar selesai menyarung
kasut dan kami bersalaman, telefonnya berdering lagi, dan dia terus masuk ke dalam keretanya
lalu menjawab panggilan itu. Entah kenapa, aku yakin itu panggilan dari SM.
Hati tercuit lagi. Ingin tahu, apakah yang dimahukan dari suami ku ? Ahh,lantaklah.
Hilang kelibat Amar, aku terus menghadap PC di bilik kami.
Aku terus melayari Facebook. Aku curi-curi baca di wall SM. Oh, dia hendak
menaiki flight dari Kuching Sarawak ke Johor Bahru. Baru balik dari satu acara
sukan.
‘Telefon tu, nak mintak abang jemput dia ke ?’ Fikirku. Ah!
Kenapalah aku termakan lagi pujukan syaitan, tak sepatutnya aku buat macam ni.
Biarlah apa yang suami nak buat, bukannya aku mampu melarang. Tak mahu aku
menjadikan perkara yang belum pasti sebagai punca pergaduhan. Aku tak pernah
bertekak dengan Amar kerana orang lain. Jadi aku mahu kekalkan rekod itu.
Cuma, terdetik di hatiku, kenapa aku selalu kata, aku redha
jika suami ingin berkahwin lagi, sedangkan baru sedikit dugaan seperti ini, aku
sudah seperti cacing kepanasan. Sebenarnya, aku mungkin akan lega jika suami
bersikap jujur padaku, mengatakan dia ada teman wanita yang mungkin menjadi
madu ku. Sesekali aku kesal kerena pernah senyap-senyap membaca perbualan
mereka di facebook suamiku. Mereka saling melafazkan rindu. Hampir gugur
jantung ini ku rasakan. Namun aku bersyukur aku masih mampu berlagak selamba
dihadapan suamiku. Teringat pada suatu hari, aku sengaja menduga suamiku,
“Girlfriend abang yang dekat facebook tu olahraga ye ? “ Ku lihat
Amar kaget, tapi cuba mengawal dirinya.
“A’ah. Mana awak tahu ?” soalnya berlagak selamba.
“Dia satu kumpulan dengan classmate Aisyah dekat sekolah dulu.
Dia ada tag classmate Aisyah tu dekat gambar dia.”
“A’ah, dia budak sport. Girlfriend yang gonjeng.” Ujarnya
dengan senyuman. Ya Allah ! Betapa aku cuba mengawal emosi dan sebak di dada.
Aku sedih kerana dia tidak pernah
bercerita padaku tentang perempuan itu.
“Mana awak tahu abang ada girlfriend dekat Facebook ? “
“Ooohh…. Dah lama dah. Hari tu kan Abang bagi Aisyah pakai telefon
abang tu. Aisyah cuba nak padamkan semua sms yang dah sarat dalam inbox dan
sent messages tu, tapi kena delete satu-satu pulak, sebab dia tak ada option
mark. Takut terdelete sms yang penting. So, Aisyah terjumpalah beberapa SMS
abang untuk dia.” Ujarku seselamba yang boleh, walaupun hakikatnya, hati ini
bergetar hebat mengingati apa yang tertulis dalam rangkaian SMS itu.
Amar terus diam dan terus keluar. Dia agak tidak selesa untuk
beberapa hari selepas itu. Aku dapati, dia telah memadamkan semua perbualannya
di facebooknya. Adakah kerana rasa bersalah atau apa, aku tidak tahu. Aku pun
tidak pernah lagi bercerita tentang semua itu dengannya. Aku sebenarnya
mengharapkan dia yang akan bercerita.
Ada satu perkara yang aku tidak faham. Wanita seperti SM ini,
yang berkenalan dengan lelaki melalui facebook, mengapa mereka tidak berfikir
panjang ? Sedangkan di profile suami, terang-terang sudah menunjukkan status
berkahwin dan ada juga namaku di situ. Boleh saja dia menambah aku sebagai
rakan facebooknya. Jadi pada aku, dia kurang jujur. Amar seorang lelaki yang
suka mengusik perempuan. Walaupun ketika aku bersamanya. Tapi, bila perempuan
yang diusiknya bertindak selamba atau tidak melayan, dia pun tidak kisah dan
buat tidak tahu saja. Dia cuma menghiburkan dirinya. Aku sangat faham perangai
suamiku. Tapi, SM pula suka melayan. Dia memberikan respon yang membuatkan
suamiku rasa muda semula. Dia membalas semua ucapan romantik dari Amar. Memang Amar
yang memulakan.
Pada tahap ini, aku tidak marahkan SM, tapi jika dia berfikir
panjang, selepas melihat suamiku berstatus “berkahwin”, seharusnya dia menjaga
dirinya dan maruah wanita. Sepatutnya dia mula membataskan perbualan.
Seharusnya dia meletakkan dirinya sebagai isteri lelaki itu. Apakah rasa
isterinya jika mengetahui perkara ini. Bagaimana jika suamiku hanya ingin
mempermainkan dia ? Dia mahu salahkan suamiku sepenuhnya juga ?
Aku juga tidak boleh membantah jika suami ingin
mengahwininya, tapi, jika dia tidak serius dengan hubungan itu, macam mana ?
Aku juga takut suami tidak adil dalam melayari rumahtangga berpoligami, kerana
permulaannya saja sudah mula berahsia. Apa pun, aku tidak mahu buruk sangka. Aku
masih cuba bersedia menerima sebarang kemungkinan. Dalam keadaan sarat begini,
rutin harianku aku teruskan dan cuba menghindarkan buruk sangka kepada suami.
Memang aku tidak menghalang dia berpoligami. Carilah wanita
yang baik atau yang susah, yang faham tatacara hidup berkongsi kasih, dan tahu
menghormati keluarga suami. InsyaAllah, poligami itu mampu memberikan kemanisan
madu yang berpanjangan. Jika isteri-isteri tidak dapat bekerjasama, mungkin
suami pun tidak dapat merasakan kemanisannya.
Hari kelahiran anak ini rasanya semakin hampir. Aku sudah
mula merasakan sakitnya. Namun masih cuba memenuhi tugas harianku semampu dan
sekuat yang boleh.
Di satu malam yang hening, aku mula terasa kembang kecutnya
rahim. Hujung ari-ariku sudah mula rasa seperti mengembang. Pergerakan bayi
juga semakin kurang, sebaliknya dia sentiasa mengeras. Aku mula menelefon ibuku
dan ibu mertuaku. Ku pohon ampun dari mereka, ku pohon mereka halalkan semua
untukku. Aku juga memohon doa dari mereka untukku.
Ya ALLAH ! Sakitnya tak dapat ku tahan lagi. Malam itu ku cuba tidur, kerana belum ada tanda-tanda
seperti keluar darah atau air ketuban pecah. Suamiku nyenyak tidurnya, aku pula
tidak boleh berbaring lagi. Aku tahan lagi sakit itu walaupun airmata sudah
membasahi pipi. Bibir ini tidak henti berselawat, berzikir dan membaca surah Al
Insyirah. Serasa bagai mahu menjerit sekuatnya dek kesakitan yang tidak
tertanggung. Subuh kian hampir. Aku tidak mampu menanggung lagi. Bayiku juga
semakin kuat mengeras. Terasa bagai mahu pecah perut ini dan sakit di bahagian
ari-ari juga tidak tertanggung. Ya Allah ! Berikanlah aku kekuatan !
Ku gegar badan suami.
“Abang, sakit sangat ni…”
Suami terkejut dan terus bangun.
“Nak ke hospital sekarang ? “ Aku angguk lemah. Dia bergegas
bangun. Bersiap, mencapai apa yang patut, dan berpesan kepada anak sulungnya
untuk menguruskan segala urusan di rumah.
Dalam perjalanan ke hospital, aku terus membasahkan bibir
dengan zikir dan bacaan surah Al Insyirah. Sampai di kaunter pendaftaran bilik
saringan, sempat ku cium tangan suamiku,
“Abang, ampunkan salah silap Aisyah ye…Halalkan semuanya,
redhailah Aisyah ye bang….”
“Ye, abang ampunkan, abang redha.Sabar ye.” Amar mengucup
dahiku perlahan.
Aku terus di bawa ke bilik saringan untuk diperiksa oleh doktor.
“Bukaan puan sudah 8 cm! Hantar puan Aisyah ke labor room
sister..”
Aku mula berjuang antara hidup dan mati. Betapa kesakitan itu
cuba ku letak ke tepi untuk melahirkan seorang lagi zuriat hasil cinta aku dan
Amar. Sesungguhnya Allah saja yang mengetahui betapa dahsyat sakit yang aku
rasakan. Dengan bantuan bidan dan seorang doktor, dalam masa hanya 45 minit,
aku telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki, satu-satunya putera dalam
keluarga kami. Alhamdulillah ! Hasrat aku tercapai ! Hasratku untuk memberikan
anak lelaki kepada Amar dimakbulkan Allah. Syukur Ya Allah!
Amar masuk dengan agak terkejut. Terkejut kerana agak cepat
proses melahirkan kali ini. Dia terus mendukung anak kami yang telah
dibersihkan dan terus mengazankan bayi comel itu. Ya Allah. Airmataku sudah
tidak mampu tertahan lagi. Amar senyum dan datang kepadaku dan terus mengucup
lembut dahiku. Penuh syahdu dan terasa amat sayu ketika itu. Selesai semuanya,
aku dihantar ke wad. Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Aku lega, semuanya sudah
selesai. Hanya kini aku perlu melalui proses berpantang. Tidak lama kemudian
Amar dan anak-anak ku sampai. Oh, aku gembira melihat semuanya ada di sini.
Mengelilingi ahli baru dalam keluarga. Amar kelihatan sangat gembira. Ya Allah
! Jika aku mampu memiliki rasa gembira seperti ini sehingga ke akhir hayatku !
Sedang saat-saat penuh makna itu ku lalui, telefon amar berdering,
tanda ada panggilan. Ku lihat Amar teragak-agak untuk menjawab. Dia menjawabnya
jauh dari kami. Aku mula tersentuh dan terdetik, mungkinkah SM yang menelefon ?
Kenapa mesti di saat ini ? Dia hendak bertanya khabar tentang aku kah ? Jika
betul, kenapa mesti Amar berbicara dengannya secara sembunyi ? Ah ! Tidak mahu
lagi aku fikir, nanti, aku menangis pula di hadapan-anak-anakku.
Ku belek-belek wajah bayiku. “Ya Allah ! Semoga anak ini akan
menjadi penguat kasih antara aku dan Amar !”
Setelah semalaman aku dan bayi di hospital, aku pun
dibenarkan pulang oleh doktor. Aku menelefon Amar untuk mengkhabarkannya
tentang itu. Setelah aku bersiap-siap, aku menerima panggilan daripada Amar.
“Aisyah, abang minta maaf ye, nanti Sara yang akan jemput
Aisyah dari hospital. Suruh dia selesaikan semua. Abang dah bagi dia duit lebih
tu. Abang ada urusan penting ni. Tak dapat nak elak, takut tak sempat pulak.
Nanti, lama pula Aisyah nak kena tunggu Abang. “
Aku seperti terkedu.
“Ye bang.”Balasku lemah.
Dalam 45 minit, Sara, anak sulung Amar sampai. Setelah dia
selesaikan semuanya, kami pun pulang. Di rumah, ibu mertuaku sudah siap sedia
menyambut kepulangan aku dan bayi. Semalam, Amar sempat menjemput ibunya dari
kampung.
“Amar kemana sebenarnya ? Kenapa Sara yang kena jemput pula ?
Dia ada urusan apa ?” Tanya emak sebaik aku selesai menidurkan bayiku.
“Entahlah mak, dia kata penting. Jumpa customer agaknya.”
Emak menggeleng-geleng kepala.
Sepanjang seminggu ibu mertua menjaga aku. Luka pun sudah
hampir pulih. Aku juga sudah beransur sihat selepas mendapat khidmat urut badan
dari Kak Jah, tukang urut di kawasan ini. Namun masih terasa sakitnya. Biasalah
tu. Habis tempoh pantang, sembuhlah sepenuhnya. Inikan anak yang ke empat. Aku
sudah biasa melaluinya.
Amar nampaknya sibuk benar. Nampak macam banyak betul urusan
sepanjang aku berpantang ni. Maklumlah, biasanya, aku akan menguruskan hal
anak-anak dan pejabat selain dari rumah. Kini, hanya dia dan Sara yang
menguruskan semuanya. Dia Nampak tenang dan sentiasa gembira. Mungkinkah
kehadiran bayi lelaki ini yang menjadikannya begitu ? Entahlah.
“Hari ni, abang nak hantar mak balik ye. Awak ok kan ? “
“Ok lah bang. Tak pe. Mak memanglah tak boleh lama. Lagi pun
Aisyah dah boleh uruskan Aqil sendiri. Kesian mak. Mak pun bukan sihat mana nak
tolong Aisyah kat rumah ni. Biarlah mak balik dan rehat di rumah dia.”
“Ok. Abang balik petang ni juga.” Kami bersalaman, dahiku
dikucup. “Hati-hati bang.”
“Mak balik dulu ye. Jaga anaknya baik-baik. Engkau pun jangan
tak makan Aisyah. Pantang betul-betul.” Pesan emak sebelum masuk ke kereta.
“Ye mak, Terima kasih sebab sudi jaga saya dan cucu-cucu mak
ni.” Mak senyum dan mengangguk.
Kereta Amar terus meluncur laju meninggalkan rumah. Selepas
Sara menutup pagar, aku terus masuk ke bilik. Agak terkejut kerana ternampak
salah satu telefon Amar tertinggal. Lampunya berkelip-kelip. Ada SMS yang belum
di baca. Aku terus membaca SMS itu supaya aku tahu ia penting atau tidak untuk
memberitahu Amar. Ah! Dari SM.
‘Saya dah sampai umah. Lau sempat, nak jumpa, leh tak ?’
Tulisnya.
Aku jadi serba salah. Kalau aku beritahu pada Amar, apa
perasaan dia ye ? Aku pasti dia rasa bersalah padaku. Aku tidak mahu dia rasa
begitu. Tapi, jika aku tidak beritahu, dia akan tahu juga yang aku sudah
membacanya.
Aku lantas menelefon Amar.
“Ye lah yang. Telefon abang tertinggal. Abang dah masuk
highway lah. Jauh nak u turn. Tolong
jawabkan ye kalau ada orang call. “
“Ok bang. Tadi ada SMS.”
“Tengokkan dari siapa ye ? “
“Mmmm…dari SM012, katanya, dia dah sampai rumah, dia nak
jumpa kalau abang sempat.” Aku Berjaya mengawal emosi.
“Oh… Ok lah.” Jawabnya dalam nada suara seperti menahan rasa
terkejut, dan terdengar seperti bergetar.
“Kalau dia call, nak Aisyah jawab ke bang ?”
“Err… jawablah. Cakap telefon abang tertinggal…eh… er… tak
payah jawablah…. Er….”
“Oklah bang…Aisyah tak jawab… kalau kawan-kawan yang Aisyah
kenal je Aisyah jawab.”
“Ok..terima kasih,” Ada getar bersalah dihujung suaranya itu.
Talian ku putuskan. Aku duduk di sisi Aqil, bayiku. Anak-anak yang lain sedang membuat aktiviti
masing-masing. Mataku mula berkaca menahan sebak. Aku hanyut dalam kenangan
lalu. Kenangan di mana hebatnya dugaan dalam cinta aku dan Amar.
“Ya Allah, aku telah lelah dengan perasaan yang tidak menentu
ini. Aku tidak mahu lagi hidup dalam dunia yang hanyut. Jika ada jodohku di
dunia ini, kau percepatkanlah kehadirannya. Aku redha walau siapapun yang kau
takdirkan menjadi suamiku.”
Itulah doaku setiap kali usai solat.
Aku ditemukan dengan Amar tidak berapa lama kemudian. Kami
berkenalan kerana perniagaan. Pada awalnya, aku agak ragu dengan Amar.
“Dia nampak macam gangster je. Lepas tu kan, nampak sangat
macam orang dah kahwin tau.” Luahku pada anak buahku yang paling rapat.
“Mak Su suka kat dia ke ? “
“Hish, tak kot. Tapi dia tu macam mengurat Mak Su je tau. Lepas
tu, Mak Su asyik teringat aje kat dia. Entahlah Umi…”
Satu hari, Rafi, pembantu Amar bercerita tentang Amar
kepadaku.
“Abang Amar tu duda anak tiga. Dah 4 tahun orang rumah dia
meninggal. Kesian tengok dia. Tiap minggu ulang alik dari sini ke kampung untuk
melihat anak-anaknya. Mak dia yang jaga anak-anak dia.”
“Ooo……macam tu rupanya.”
“Dia memang nampak ceria aje kan. Tapi dalam hatinya, Allah
aje yang tahu Aisyah..” ujar Rafi lagi.
“Satu perkara lagi yang penting.”
“Apa dia ? “
“Abang Amar tu suka kat Aisyah. Dia tak pernah rasa macam tu
kat perempuan lain selepas arwah isterinya. Rafi pun tak pernah tengok dia
macam tu.”
Aku terdiam. Aku pula masih belum pasti tentang perasaan aku
padanya. Namun, hubungan kami semakin rapat bila kami mula membina satu
perniagaan baru bersama. Dia seorang yang sangat berkarisma dalam berniaga. Dia
sangat tegas dan cukup berdisiplin dalam menjayakan apa yang dia mahu. Namun
hatinya juga lembut. Dia mudah memaafkan orang yang ada disekelilingnya. Dia
juga sangat jujur. Hingga suatu hari, dia menunjukkan kepadaku gambar arwah
isterinya serta anak-anaknya dan sijil kematian arwah isterinya.
Satu hari, ada urusan yang perlu kami uruskan berkenaan
perniagaan, dan kami keluar bersama. Selesai urusan, dia membawa aku bertemu
dengan anak-anaknya. Kami berkenalan, dan aku seronok melihat hubungan mereka
anak beranak. Sangat mesra.
“Mereka nampaknya macam suka aje dengan awak.” Ujar Amar
semasa kami dalam perjalanan pulang.
“Ye ke ?”
“Iya. Dulu, ada juga abang kenalkan dengan dua tiga perempuan
lain. Semua kena reject dengan anak abang. Kalau anak-anak abang tak suka,
abang pun tak boleh terima.”
“Maksud abang ? “
“Maksudnya, kita dah dapat lampu hijau dari anak-anak abang.” Senyumnya
meleret.
Aku pun rasa gembira juga. Aku sebenarnya sudah mula suka
pada Amar. Namun ada kerisauan di
hatiku. Bagaimana dengan penerimaan keluargaku nanti ? Mereka memang sudah
mengenali Amar, sebagai rakan perniagaanku. Tapi itu saja. Mereka tidak mungkin
menyangka jika aku mahu memilih Amar sebagai bakal suamiku.
Bila satu hari aku menyuarakan hasratku, jelas sekali
tentangan hebat aku terima dari keluargaku. Mereka mula menyelidik tentang Amar dibelakangku. Malangnya, maklumat
yang mereka dapat, tidak tepat sama sekali. Mereka telah diberitahu bahawa
isteri Amar belum meninggal dan Amar seorang kaki perempuan dan gangster. Dari
maklumat itulah mereka menghalang hubungan kami. Walaupun puas aku tegaskan
yang aku telah melihat sijil kematian arwah isterinya, aku juga sudah
menziarahi pusaranya dan aku juga telah bertemu dengan anak-anak Amar, tidak
seorang pun mahu percayakan aku. Remuk rasa hati ini !
Aku bukan sedih kerana tidak mendapat restu dari keluarga,
tapi aku sedih kerana mereka lebih percaya orang luar dari diriku sendiri.
Pergolakan dalam keluarga kami jadi semakin meruncing. Sehingga pernah aku
terdengar yang mereka mahu mengurung aku di rumah, dan tidak mahu aku keluar.
Bagaimana dengan perniagaanku nanti ? Ianya baru mula berkembang dan mendapat
sambutan yang amat positif. Perkembangannya sangat menaikkan semangat aku. Kalau
tak suka aku berhubungan dengan Amar pun, janganlah sampai bertindak hendak
mengurung aku macam budak kecil. Aku sudah berusia 23 tahun !
Satu hari, aku mendapat khabar, orang kampungku cuba
mengepung Amar dan mahu ‘mengerjakannya’. Ya Allah ! Apa salahnya ? Aku tidak
faham. Puas aku terangkan secara baik namun tidak dipedulikan. Aku cuba dapatkan
khidmat kanuseling di jabatan agama. Banyak penjelasan, pengajaran dan pilihan
jalan penyelesaian yang diberikan oleh Ustaz Zafiruddin.
Akhirnya, aku bertekad untuk tetap berkahwin dengan Amar,
memandangkan telah banyak modal wang ringgit aku laburkan dalam perniagaan
kami. Itu bermakna, aku dan dia perlu bertemu setiap hari atas urusan
perniagaan. Bagaimana pula kami nanti mengawal hati dan nafsu ? Tak mungkin aku menghentikan perniagaan ini begitu
sahaja, kerana sebahagian besar modal yang aku perolehi ialah dari wang
simpanan ayah ! Itupun, bukan aku yang meminta, tapi ayah yang memberinya.
“Ayah tak kisah, kau nak kahwin dengan duda ke siapa ke, tapi
ayah tak suka keluarga kita bergaduh-gaduh. Kalau boleh, carilah orang lain….”
Aku terkedu. Ayah memang dari dulu banyak mengalah dengan
kehendak mak dan abang-abangku. Ayah paling tak suka bertelagah dengan keluarga
sendiri. Namun, kerana terlalu yakin yang Amar mampu membimbingku menjadi
peniaga yang baik dan juga isteri yang baik, aku tekad juga. Telah ramai lelaki
yang aku kenali yang hanya tahu mengharapkan cintaku, tapi tidak cuba
membimbingku. Dengan Amar, aku mampu rasa selamat, dan rasa terdidik. Aku juga
rasa hormat padanya.
Pernah aku putus asa, dan ingin pergi meninggalkan semuanya.
Meninggalkan Amar, meningglkan perniagaanku, meninggalkan keluargaku. Aku ingin
pergi membawa diri. Tapi aku sedar, aku tidak boleh lari dari masalah. Aku
mesti menyelesaikannya. Amar juga pernah menitiskan airmata bila aku memutuskan
untuk menghentikan segalanya.
“Sabarlah. InsyaAllah, ada jalan keluarnya. Abang sudah
terlanjur teramat sayang pada Aisyah. Tak mungkin abang nak tengok macam tu
aje. Apa abang nak cakap dengan anak-anak abang yang dah mula menerima awak ?
Mana abang nak cari orang yang mereka suka lagi ? “ luah Amar dengan airmatanya
yang pertama kali kulihat mengalir dipipi.
Dalam keadaan itu, pelbagai tohmahan orang kampung lemparkan
kepada kami. Maklumlah, di pejabat yang aku sewa di dalam kampungku itu, hanya
aku saja perempuan, dan pekerja lain semuanya lelaki. Aku sebagai pengurus
perlu mengagihkan gaji mereka yang dibayar secara harian setiap hari, walaupun
mereka sampai ke pejabat pada pukul 10 malam. Dari keadaan itu, pelbagai fitnah
yang melanda.
Akhirnya, kerana tidak mahu fitnah antara kami berlanjutan,
kami bernikah dengan mendapatkan perintah dari pejabat Qadhi. Aku terasa kesal
kerana mengecewakan keluarga, namun aku perlu terus menghadapi keputusan yang
aku pilih.
Selama hampir dua tahun aku tidak pulang bertemu keluarga
kerana keengganan mereka menerima Amar. Aku melahirkan anak pertama juga, tanpa
pengetahuan ibu bapaku. Namun aku tidak pernah sekalipun menyalahkan sesiapa
dalam hal ini. Aku hanya menyalahkan diriku sendiri.
Namun begitu, aku juga bersyukur kerana menikahi Amar. Dia
telah membentukku menjadi wanita yang lebih baik dari diriku dulu. Aku amat
patuh kepadanya, dan semakin baik sebagai seorang muslimah. Semakin dalam ilmu
agama yang aku pelajari dari Amar. Aku mahu menebus kesalahanku pada kedua ibu
bapaku. Isteri yang solehah adalah anugerah kepada ibubapanya. Aku cuba menjaga
keperibadianku sebagai muslimah sebenar. Aku tidak pernah sebut atau mengungkit
soal keluargaku dihadapan Amar. Aku tidak pernah meminta-minta untuk pulang
menjeguk ibu bapa walau di hati ini meronta-ronta kerinduan. Itu semua kerana
aku yakin, satu hari nanti, Allah akan permudahkan segalanya.
Sehinggalah suatu hari, Abang sulungku tiba-tiba muncul
dipagar rumah. Kami bertemu dan berpelukan dalam esak tangis kerinduan. Ya
Allah ! Rindu dan sayangnya aku kepada keluarga ku, hanya Kau yang tahu! Namun,
aku tidak dapat menjemput mereka masuk kerana Amar tiada di rumah.
Kepulangan Amar hari itu ku jamu dengan kisah pertemuan itu.
Alhamdulillah, Amar gembira dan dia terbuka dalam hal itu.
“Kalau keluarga awak datang lagi, jemputlah masuk. Abang
izinkan.”
Sejak itu, pertemuan demi pertemuan terjadi. Akhirnya, Amar
mengizinkan aku pulang ke rumah ibubapaku. Ya Allah ! Betapa pertemuan itu
sangat mengharukan ! Hubungan persaudaraan kami kembali terjalin, dan mereka
juga nampaknya sudah mula cuba menerima Amar dalam keluarga kami. Namun, Amar
tidak cuba bermesra dengan keluargaku. Dia seperti tidak selesa dan tidak
pernah mahu pulang ke kampungku bersama-sama kecuali di hari lebaran. Setiap
tahun, hari raya pertama dan kedua, pasti aku mengikut Amar ke rumah
keluarganya tanpa banyak soal. Aku tidak pernah persoalkan keputusannya, kerana
aku faham dia mempunyai tanggungjawab
besar sebagai anak lelaki dan anak sulung dalam keluarganya yang mana telah
kehilangan ayah.
Awal kehadiran aku dalam keluarganya juga mendapat sambutan
dingin. Aku sering diperli sebagai perempuan gatal, yang tak sabar hendak
berkahwin, dan macam-macam gelaran lagi. Maklumlah, rupaku bukanlah cantik, dan
pendidikanku pula tak sehebat adik-beradiknya yang lain. Terlalu hina aku
dipandangan keluarganya. Namun aku tidak pernah mengisahkan semua itu. Aku
terima dengan hati terbuka dan redha. Itulah ‘bahagianku” yang perlu aku
tanggung. Amar tidak pernah kuadukan jika ada kata-kata pedih dari adik
beradiknya yang lain. Aku sedar siapa aku.
Aku juga tidak pernah memaksa anak-anaknya memanggil aku emak
atau mama atau ibu. Cukuplah dengan panggilan Cik Aisyah. Biarlah panggilan itu
ikhlas dari hati mereka. Bukan kerana terpaksa. Namun setelah 4 tahun hidup
sebumbung, mereka tanpa disuruh-suruh memanggil aku “Mama”. Alhamdulillah,
syukur padaMu ya Allah.
“Uuuweek..!”Esak tangis Aqil menyedarkan aku dari
lamunan. Oh ! Kenangan yang amat
menyentuh jiwa ! Sudah hampir petang. Aku perlu membersihkan Aqil.
Malam itu, Amar membelikan sate untuk hidangan makan malam
kami sekeluarga. Selesai makan, aku menemani Amar di bilik, memandangkan Aqil
tidur nyenyak.
“Abang, abang cakaplah kalau abang ada suka kat mana-mana
perempuan. Insya Allah Aisyah boleh terima. Aisyah pun isteri abang yang ke
dua. Aisyah bukanlah wanita pertama dalam hidup Abang.”
Diam seketika.
“Aisyah, abang akan beritahu kalau abang betul-betul nak
kahwin dengan sesiapa. Aisyah jangan risau. Kalau abang ada berkenan, abang
akan beritahu.”
“Habis tu, Siti Maslinda tu macam mana ? Abang tak cukup
serius ke dengan dia ?”
“Oh! Dia ? Entahlah. Abang belum pastilah….Kenapa ni ?”
“Bukan apa bang, kalau abang tak serius, janganlah abang
layan sangat. Bahaya bang. Kalau dia betul-betul harapkan abang, tapi abang
sebaliknya, macam mana ? Kesianlah kat dia bang. Datang masalah lain pulak
nanti.”
“Alahhh… Dahlah. Abang tak nak cerita pasal nilah. Abang tak
ada apa-apa.”
Aku terus diamkan diri. Masih tidak yakin dengan jawapan dari
suamiku. Aku tak mahu dia menyembunyikan semua itu hanya untuk menjaga hatiku.
Lebih baik aku mendengar kejujuran darinya walaupun pahit. Aku pasti, cemburu
akan mengusik hati ini, tapi, lebih mudah aku menerimanya jika ia ku ketahui
dari bibirnya sendiri, daripada aku mengetahuinya dengan cara lain. Ya Allah !
Perjelaskanlah semuanya kepadaku !
Aku benar-benar ingin tahu, apa perasaan Amar kepada Siti
Maslinda, dan apa pula perasaan Siti Maslinda kepada Amar. Aku terasa seperti
ingin membuat tindakan sendiri. Tapi, aku masih hormat pada Amar.
“Ya Allah ! Aku tidak mahu buruk sangka kepada suamiku ! Tapi
aku tidak tahu apa yang harus aku perbuat lagi. Kau tunjukanlah jalan kepadaku
ya Allah !”
Sudah genap 40 hari aku berpantang. Semakin sihat rasa
badanku. Jamu yang aku beli dari Kak Intan itu memang mujarab. Walaupun agak
mahal, tapi ia baik untuk kesihatan dalaman dan luaran. Esok, aku akan mula ke
pejabat. Malam itu, Amar kata dia tidak mahu keluar atau ke mana-mana, walaupun
diajak oleh kawan-kawan meja kopinya. Aku hanya tersenyum kerana aku tahu Amar
penat melayan karenah kawan-kawannya itu.
“Kalau sesiapa telefon, cakap abang dah tidur ye yang. Malam
ni abang nak tengok tv dengan anak-anak. Letihlah hari-hari layan dia orang tu…
hehehe…” ujar Amar lalu membaringkan dirinya di hadapan televisyen.
“Baik bang. Nanti Aisyah jawabkan.”
Selesai mengemas dapur, aku bermain-main dengan Aqil yang
baru bangun dari tidurnya. Semakin montel Aqil. Kakak-kakaknya juga sibuk
mengelilingi dia. Hmmm….. sekarang dah pukul 10, kejap lagi tidurlah Aqil ni.
Waktu berjaganya, biasanya pukul 3-4 pagi. Biasalah, bayi sebaya ini belum
dapat bezakan malam dan siang secara tepat. Tiba-tiba aku dikejutkan oleh bunyi
telefon Amar. Ku capai dan nama yang tertera adalah SM012.
“Jawab yang, cakap abang tidur tau,” ujar Amar tanpa
mengetahui siapa yang menelefon.
Aku menjawab panggilan itu dengan hati yang berdebar.
“Helo.” Lafazku.
“Hhh…helo.” Balas suara di hujung talian. Kedengaran agak
gugup.
“Aaa…Abang Amar ada ?” Sambungnya lagi.
“Maaflah, abang dah tidur.” Aku cuba mengawal perasaan.
“Ohh…Mmmm…ok. Tak apalah.” Talian diputuskan.
“Siapa yang ? “ Soal Amar dengan dahi berkerut.
“Mmm..namanya, SM012.” Wajah Amar berubah.
“Oh….Apa dia kata ? “
“Dia tanya abang, Aisyah cakap abang dah tidur, dia kata, ok,
tak apa.” Terangku seringkasnya, lalu menyerahkan telefon itu kepada Amar.
Aku terus berlalu dan mendapatkan Aqil. Fiiranku mula
berputar-putar. Mula berfikir lagi tentang SM. ‘Oh! Masih berhubung lagi
rupanya mereka. Ah! Apa lagi yang nak
aku risaukan. Bukankah Amar dah kata, dia tak ada apa-apa.’ Ku ambil Aqil dan
menyusukannya. Aku mahu lupakan tentang itu. Dari jauh ku lihat Amar yang sudah
duduk, sedang rancak berSMS dengan seseorang, dan hatiku mengatakan ia adalah
SM. ‘Uh! Malaslah nak beratkan fikiran lagi. Lebih baik mama layan Aqil, kan
sayang…’
Aku membawa Aqil ke bilik, dan menyusukannya sambil
berbaring. Beberapa minit kemudian, Aqil pun tertidur. Aku hampir-hampir
terlelap. Aku perasan Amar masuk dengan perlahan-lahan, mungkin tidak mahu
mengganggu Aqil. Dia duduk di sebelahku dengan amat berhati-hati. Aku pura-pura
tidur.
“Maafkan abang yang. Abang tak ada niat nak sakitkan hati
awak. Abang sayang sangat dengan awak dan anak-anak. Tapi, susah pula abang nak
lupakan gadis ini. Abang pun berharap untuk tidak meneruskan hubungan kami.
Tapi, kami semacam susah nak berjauhan. Tentulah abang lebih sayangkan awak,
tapi abang tak boleh lupakan dia.” Bisik Amar sambil mengusap rambutku. Aku
cuba menahan getar di dada.
“Abang tak tahu nak buat apa yang. Abang tak tahu bagaimana
ingin menolak dia.” Sambungnya lagi lantas mencium kepalaku. Airmata tak mampu
lagi ku tahan. Getar badanku semakin kuat. Esak tangisku bermula.
Amar memelukku dari belakang. Dia juga menangis rupanya.
“Abang, Aisyah tak mahu melarang. Jika hati abang dan dia
sudah terpaut, tak elok dilayan tanpa ada pertalian yang sah. Dosa bang. Zina
hati bang…… Aisyah tak mahu abang berdosa. Kalau abang tak mampu kawal hati,
abang bernikahlah dengan dia.” Walau berat, namun berjaya aku lafazkan.
Semakin erat rangkulan Amar. Bertalu-talu dia mengucup
kepalaku.
“Abang minta maaf sayang. Abang tidak terfikir hendak
memadukan awak. Abang keliru dengan diri abang sendiri.”
Aku cuba menghentikan esakkan ku. Aku duduk menghadap Amar.
Ku genggam tangannya.
“Abang, abang fikirkan semula. Apa sebenarnya asas hubungan
abang dengan dia. Adakah kerana nafsu ? Jika benar, mampukah abang tahan semua
itu dan lupakan dia begitu sahaja ? Aisyah tak mahu abang berada di sisi Aisyah,
tapi hati abang bersama dia. Tiada makna buat Aisyah bang..” Airmataku masih
bercucuran.
Amar diam. Dia merenung aku dalam-dalam.
“Apa harus abang buat Aisyah ? “
“Abang dah istikharah ? Aisyah tak tahu hati abang. Aisyah
tak boleh buat keputusan untuk Abang. Kalau abang berpoligami pun,
tanggungjawab yang besar adalah di bahu abang. Abang mesti ingat semua tu.
Aisyah tidak ada kuasa melarang.”
Semakin kuat genggaman Amar. Renungannya seakan sangat
mengharapkan penyelesaian dariku.
“Abang, kenalkanlah dia dengan Aisyah. Biar kami saling
mengenali, kemudian abang boleh nilai sendiri jalan mana yang abang nak pilih.”
Amar tunduk. Entah apa yang dia fikirkan dengan kata-kataku.
Ya, aku mahu mengenali gadis yang berjaya mengusik hati suamiku. Aku ingin
mengenali hati budi yang ternyata bisa menggoyangkan iman imamku.
Hari minggu yang tenang. Seperti biasa, telah aku siapkan
semua tugasan di rumah. Amar mengajakku keluar. Dia minta aku bersiap. Keluar
tanpa anak-anak, kecuali Aqil, katanya. Aku hanya menurut. Dia membawaku ke
Danga Bay. Kami mencari satu tempat duduk yang redup, di bawah pokok-pokok yang
merimbun. Masih awal, baru pukul 10 pagi. Amar mendapatkan sesuatu untuk aku.
Kembalinya Amar, dia membawa minuman bersama seseorang, dan aku tahu siapa
orang itu. Aku sudah mengaggak dari awal lagi.
“Aisyah, ii..iii…inilah Siti Maslinda.” Ujar Amar dengan agak
gugup. Ku lihat, gadis itu agak payah untuk membalas pandanganku. Aku hulurkan
tangan untuk bersalaman. Salam ku di sambut namun sekejap sahaja.
“Abang, abang bawalah Aqil pusing-pusing. Biar Aisyah
berkenalan dengan dia.” Ucapku dengan senyuman.
Aku cuba sedaya upaya bersahaja. Alhamdulillah, tiada perkara
buruk terlintas difikiranku. Amar bersetuju dengan permintaanku, lalu beredar
membawa Aqil.
“Apa khabar linda ? Boleh akak panggil dengan nama tu ?” Aku
memulakan perbualan.
“Boleh….err… saya baik aje kak…” jawapannya agak
terketar-ketar.”
“Linda jangan lah risau. Akak tak ada apa-apa. Kita
berkenalan macam kawan aje. Ok ?“ ujarku yang semakin tenang.
“Ye kak.” Sambutnya.
“Akak tak mahu tahu tentang apa yang Linda buat, contohnya
kerja linda atau aktiviti linda. Itu hak linda. Akak pasti, Abang Amar dah tahu
semua tu. Kan ?” Dia hanya mengangguk.
“Boleh akak terus ke perkara utama ?” Dia mengangguk lagi.
“Ok. Linda serius ke dengan Abang Amar ? “ Dia memandang
sekilas wajahku, lalu tunduk.
“Ya kak.”
“Keluarga Linda dah tahu ke ?” Dia menggeleng. Aku dah
mengagaknya. Sebenarnya, aku tidak mahu Amar melalui lagi satu tentangan
keluarga. Aku kesiankan Amar. Cukuplah dugaan waktu kami ingin bersama dulu. Di
usianya kini, entah mampukah dia menangani semua itu lagi.
“Linda bersedia untuk berkongsi segala-galanya ? Akak tidak
melarang jika abang nak meluangkan masa bersama linda nanti. Tapi, linda juga
mesti faham, abang punya anak yang ramai. Akak tak mahu nanti linda fikir, akak
menggunakan anak-anak sebagai alasan untuk sentiasa mencuri masa abang dari
linda. Akak juga tak nafikan perasaan
cemburu akak ada. Akak cuma wanita biasa.”
Dia diam. Wajahnya menunduk seolak merenung jauh ke dalam
bumi.
“Linda bersedia mengenali Abang Amar ? Dia ada bermacam
karekter yang tersembunyi. Kalau linda benar-benar serius, linda perlu bersedia
juga dengan keluarga Abang. Maafkan akak linda. Akak bukan hendak mengugut atau
menakut-nakutkan linda dengan semua pertanyaan tadi. Cuma, akak perlu jaga
semua tu untuk kepentingan Abang Amar, keluarganya dan Linda sendiri.” Aku cuba
mengukir senyuman kepada linda.
“Linda tak mahu cakap apa-apa ke ? Tak mahu tanya akak
apa-apa ke? Akak tak kisah. Akak bersikap terbuka.”
Dia mengangkat wajahnya. Suasana sunyi seketika.
“Kak. Saya tak sangka, sebegini tenang penerimaan akak
tentang perkara ini. Tak perlulah saya melihat kemesraan akak dengan Abang
Amar, saya melihat akak sendirian di sini, setenang dan setabah ini saja, sudah
membuatkan saya cemburu. Cemburu kerana saya tak setabah ini kak. Hati saya ini
meronta-ronta ingin memekakkan telinga dan tak mahu dengar apa-apa pun yang
akak katakan. Kerana saya terlalu cemburu, dan saya tahu saya tak mungkin boleh
menjadi seperti akak.” Aku diam. Kulihat airmatanya mengalir.
“Saya sudah sangat menyayangi abang Amar. Tapi saya tak yakin
saya mampu menghadapi semua itu kak. Saya sendiri tak pasti sejauh mana Abang
Amar meletakkan hubungan kami dalam hidupnya. Salah saya yang tidak cuba
mengundur diri saat tahu dia sudah berkeluarga. Saya sangat tertarik dengan
dia.”
Aku hanya tersenyum.
“Akak faham. Abang Amar punya karekter yang membuatkan orang
mudah mesra dengannya. Berbual dengannya membuatkan kita seronok. Dia pandai
menggembirakan hati orang lain. Dia pandai menghilangkan serabut di kepala
orang lain. Dia memang macam tu Linda. Dengan sesiapa sahaja dia akan tersenyum
dan ketawa. Dia sangat mesra dan bijak mengubah suasana. Sebenarnya, ada beberapa
perempuan lain yang pernah cuba merapati dia. Sebelum akak, sebelum linda.
Hanya dia yang tahu, siapa yang dia mahu.”
Kami diam. Aku merenung Singapura yang jelas kelihatan dari
situ.
“Linda sudah tahu pendirian akak. Akak terima keputusan Abang
Amar seadanya. Apa juga yang bakal akak tempuhi, akak cuba redha seikhlasnya.
Akak hanya wanita biasa. Bagaimana dengan Linda ?”
Dia membisu. Ku lihat dari jauh Amar semakin menghampiri
kami.
“Beginilah Linda. Linda fikirlah. Apa jua keputusannya, linda
boleh berbincang dengan Abang Amar. Nasihat akak, jangan lupa, dapatkan
keizinan dari keluarga. Jangan sampai ada yang tidak setuju dengan keputusan
Linda nanti. Abang Amar pun dah sampai tu.”
Aku menghampiri Amar kerana terdengar rengekan dari Aqil. Aku
mengambil Aqil dari strollernya.
“Aqil haus agaknya bang. Minta kunci kereta bang. Biar Aisyah
susukan Aqil di dalam kereta. Aisyah tunggu abang.”
“Ok. Nanti abang datang.” Aku terus berlalu meninggalkan
mereka di situ.
Terlena Aqil selepas kenyang disusukan. Amar tiba dengan
wajah yang masih kusut. Diam tanpa sepatah kata, dia memandu pulang.
Seminggu berlalu, rumah kami seperti sunyi sepi. Hanya
gurauan sesama anak-anak sahaja yang ada. Amar ku lihat seperti orang bingung.
Ada saja yang tak kena di matanya. Ada saja yang membuatkan dia marah. Aku
biarkan dia begitu. Tidak mahu banyak soal. Di hari minggu begitu, anak-anak
sibuk membersihkan bilik mereka, membersihkan rumah, dan bergurau senda. Aku
berbaring di bilik bersama Aqil, menghilangkan lelah setelah bersama-sama
anak-anak mengemas kawasan rumah tadi. Amar berdiri di pintu memerhatikan
gelagat Aqil yang semakin lincah menggerakkan kaki dan tangannya. Ditangannya,
Samsung Galaxy tidak pernah lepas. Sudah seminggu begitu. Tiba-tiba tak
semena-mena, Ariana masuk berlari cuba menerpa ke arah Aqil. Tanpa sengaja dia
melanggar tangan Amar dan telefon Amar terlepas dari genggaman tangannya.
Amar ku lihat, tanpa berfikir panjang terus memukul punggung
dan kaki Ariana dengan kuat. Melaung-laung Ariana kesakitan. Mengelakkan
perkara yang lebih buruk, aku terus merangkul Ariana dan menariknya jauh dari
Amar.
“Dahlah bang! Kalau ye pun marah, janganlah pukul anak macam
orang gila. Budak ni baru 4 tahun bang!” Marahku sambil cuba mengingatkannya.
Ariana teresak-esak di dalam pelukanku. Berbekas
pukulan-pukulan dari Amar tadi. Merah di sana sini. Kesian Ariana. Jelas
kelihatan bekas pukulan itu memandangkan kulitnya yang putih melepak. Mengalir
airmataku melihat gelagat Amar. Dia mencapai telefonnya dan memeriksa kerosakannya.
Aku terus memujuk Ariana.
“Sudahlah Ariana. Tak mau nangis lagi ye. Mama ada. Ayah
tengah banyak masalah. Ariana janganlah buat macam tu lagi. Kesian Ayah. Dia
bukan marah pada Ariana. Dia marah pada diri sendiri. Ayah sayang Ariana tau.”
Pujukku.
Amar merenungku. Tiba-tiba terpancar rasa bersalah di
wajahnya. Dia memeluk Ariana. Dia mendukung Ariana dan membawanya keluar sambil
terus memujuk Ariana yang cuba melepaskan diri dari pelukannya. Aku hanya
memerhatikan dari jauh. Airmataku mula mengalir. Amar berubah ke ? Ya Allah !
Janganlah Kau jauhkan hati kami ! Kau teguhkanlah ikatan kasih antara kami Ya
Allah!
Lebih kurang setengah jam kemudian, Amar muncul dengan Ariana
yang telah terlelap di bahunya. Dia membaringkan Ariana di sebelah Aqil.
Kemudian, dia melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan aku.
“Baca ni.” Katanya lalu menghulurkan telefonnya kepadaku.“SMS
dari Linda.”
Aku mencapainya dan terus membaca.
‘Abang. Cukuplah setakat ini sahaja. Linda ingin mengundur
diri. Rasanya, Linda tak mampu berkongsi Abang. Linda juga tak mahu merampas
Abang, kerana Linda tahu Abang sangat bahagia bersama anak-anak dan isteri
sebaik Kak Aisyah. Linda pasti, sekuat manapun Linda berusaha, Linda tak
mungkin akan jadi sehebat kak Aisyah. Abang telah temui harta yang amat
bernilai dalam hidup Abang. Jagalah ia sebaik-baiknya. Terima kasih atas semua
masa dan perhatian dari abang selama ini. Minta halal semuanya. Sampaikan salam
Linda kepada kak Aisyah. Linda akan jadikan kak Aisyah sebagai contoh seorang
muslimah yang bermaruah.’
Aku tidak tahu bagaimana reaksi yang sepatutnya. Aku
memandang ke arah Amar. Dia menggenggam tanganku.
“Abang tahu abang punya isteri yang baik. Tapi abang tak
sangka abang punya isteri yang sangat mulia. Ketulusan dan keikhlasan Aisyah
telah memudahkan semuanya.”
“Abang boleh terima ke keputusan Linda ? Mampukah Abang
lupakan Linda ?”
“Abang yakin, bersama Aisyah, Abang mampu lakukan apa sahaja.
Terima kasih Aisyah. Abang tidak akan mengulangi semua ini lagi.”
“Abang, Aisyah tak mahu abang menabur janji. Masa depan tak
mungkin kita ketahui. Apa yang Aisyah mahu, cuma kejujuran dari Abang.
Janganlah rahsiakan apa-apa dari Aisyah. Aisyah sedia terima walau apa pun dari
Abang.”
Genggaman Amar semakin erat. Aku dirangkul dalam pelukannya.
Hangat kasih sayang kami kembali membara.
0 Ulasan