BAB 2
========
"Sarah,
jom balik kampung. Saya nak jumpa walid."
Makin bingung
Sarah.
"Jangan
nak jadi gila lah Khalid. Walid tak kan terima awak." Tegas Sarah. Dia
terus menuju ke arah lift untuk naik ke pejabat.
Khalid cepat
menarik tangan Sarah.
"Apa ni
Khalid!" Jerit Sarah.
"Eh
kenapa ni?" Muncul Uwais dari pintu lift.
Khalid agak
terkejut. Sarah terus jadi malu.
“Akhi tak
balik lagi?” soal Sarah menutupi rasa malu.
“Tak. Sarah
ok ke ni?” soal Uwais.
“Siapa ni
Sarah? Awak punya boyriend ke? Awak memang dah lupa saya ke?” sergah Khalid
tiba-tiba.
“Eh, tak
payah sibuklah Khalid. Akhi maaf ya. Saya naik pejabat dulu.” Segera Sarah
menekan butang lift dan pintu lift terbuka. Khalid cuba meluru masuk namun
dihalang Uwais. Pintu lift tertutup dan Sarah tidak pasti apa yang berlaku di
luar. Apa yang penting dia mahu meloloskan diri dari Khalid.
Hari itu,
Sarah pulang awal. Dia rasa sedikit tidak sihat. Bermacam perkara yang ada di
dalam fikirannya. Nina, Khalid. Buat dia pening. Dia juga tertanya-tanya apa
jadi antara Khalid dengan Uwais tadi. Harap-harap si Khalid tidak bertindak
bodoh.
Ah! Khalid oh
Khalid! Sudah habis alasan untuk dia jauhkan diri dari Khalid. Mungkin kali ini
dia terpaksa terima cadangan ibu untuk pulang ke kampung. Apa yang membuatkan
dia masih bersabar sebenarnya adalah sebab dia sangat suka dengan kerjanya
sekarang. Dia membantu peguam untuk menyelesaikan permasalahan rumahtangga.
Membantu wanita teraniaya. Membantu lelaki yang dipijak kepala. Meleraikan
pertelingkahan kecil yang dibesar-besarkan.
Ada satu
kelegaan dan kepuasan bila satu-satu kes itu selesai dengan baik. Firma mereka
punyai konsep agar setiap kes diusahakan untuk selesai luar mahkamah. Jika
dapat selesaikan luar mahkamah, banyak aib dapat diselamatkan.
Banyak kes
sedang dalam perhatian waktu ini. Kemungkinan besar Tuan Safar tidak akan
meluluskan permohonan berhentinya nanti.
Telefonnya
berbunyi. Lagu panggilan dari Walid.
“Assalamualaikum
Walid.”
“Waalaikumsalam.
Sarah buat apa tu?” suara mesra Walid buat Sarah tersenyum manja.
“Sarah tengah
baring. Macam rasa tak berapa sihat lah hari ni Walid,” adu Sarah manja. Sarah
memang sangat manja dengan Walid. Bila dia bercakap dengan walid, secara
automatik dia akan terasa masih kecil. Masih berusia belasan tahun.
“Sarah ada
masalah ke?” soal Walid sedikit risau.
“Tak lah.
Penat je ni.” Balas Sarah.
“Okeylah.
Walid sebenarnya ada benda nak cakap dengan Sarah.” Kata Walid perlahan.
“Apa dia
Walid?” Sarah tidak sabar mahu tahu.
“Warden
asrama perempuan sekolah tahfiz tu nak berhenti. Dia nak kena jaga suaminya
yang sakit. Tiba-tiba je si Rustam tu kena serangan jantung semasa mesin rumput
kat sekolah hari tu. Doktor kata, dia dah tak boleh buat apa-apa kerja.
Jantungnya dah tak kuat. Jadi mereka nak balik kampung.” Percakapan Walid
terhenti. Terdengar dia menarik nafas dan menyambung. “Masalahnya, nak cari
pengganti dalam masa singkat ni susahlah Sarah. Tu Walid fikir nak minta tolong
dengan Sarah untuk balik dan gantikan tempat warden tu. Kerja bergaji, Epf
semua ada.” Begitu penerangan Walid.
Sarah
terdiam. Dia sebenarnya rasa sebak. Seingat Sarah, Walid tidak pernah meminta
satu perkara pun dari Sarah selama ini. Sebaliknya, setiap apa kesukaan dan
keinginan Sarah Walid cuba penuhi.
‘Tadi, semasa
Solat, aku ada minta petunjuk dari Allah untuk memilih meneruskan bekerja di
sini atau pulang ke pangkuan Walid dan Ibu. Mungkin inilah petunjuk Allah.’
Bisik hati Sarah.
“Tak apalah
Sarah. Kalau Sarah tak mahu, Walid cari orang lain.” Suara Walid agak sedih dan
membuatkan Sarah juga sedih.
“Eh taklah
Walid. Sarah belum cakap apa-apa lagi kan. Boleh Walid. Boleh Sarah balik. Tapi
Sarah kenalah uruskan perletakan jawatan di sini dulu. Mungkin ambil masa
beberapa hari. Paling lama pun satu minggu, Insya-Allah. Boleh tak Walid?” ucap
Sarah lembut.
“Alhamdulillah.
Boleh! Boleh sangat!” Suara Walid kedengaran sangat gembira.
Sarah turut
tersenyum bahagia. Hilang sakit kepalanya. Pergi terus masalah yang menghentam
fikiran.
Alhamdulillah,
syukur ya Allah. Sarah rasa hatinya kini lebih tenang. Begitulah rasa nikmatnya
bila buat hati seorang walid gembira dan bahagia. Tenangnya bila tahu
walid tersenyum di sana. Bahagianya bila
membayangkan wajah walid yang manis mengalahkan gula. Sesungguhnya redha Allah
itu dari redha ibu bapa. Semoga keputusannya itu bakal memberi lebih
ketenangan, insya-Allah.
Harapannya, bila
sudah di kampung, manusia-manusia yang punyai objektif gila itu tidak akan
menjejakinya lagi. Objektif yang langsung tidak mampu dihadam oleh akal Sarah.
Sarah masih
pening bila teringatkan permintaan Nina. Puas dia berusaha berbaik sangka.
Namun entahlah. Di sudut hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang bakal menguji
dirinya jika dia terima mahupun tidak.
‘Janganlah
sampai ke kampung pun dicari aku. Aku nak tenangkan diri di kampung. Aku nak
tolong Walid.’ Fikir Sarah dengan penuh rasa bersemangat,
Madrasah
tahfiz itu tempat Sarah belajar juga dulu. Tempat dia mengenali Khalid. Ah!
Tidak mahu dia mengimbau kisah lalu. Buat hati rasa pedih.
Sarah selalu
beristighfar setiap kali teringat Khalid. Ternyata hatinya tidak dapat
melupakan lelaki itu. Setiap malam Sarah akan solat taubat. Dia rasa bersalah.
Dia rasa berdosa kerana teringat kepada lelaki ajnabi.
‘Zina hati!
Astaghfirullahal’azim! Allah! Banyaknya dosa ini ya Allah!’begitu detik di hati
Sarah setiap kali teringat Khalid. Sukar sungguh untuk melupakan. Sedangkan
masa tidak mampu diputarkan kembali. Hati yang sudah tercemar, pedih betul
untuk dibersihkan.
Sarah sangat
berharap, apabila dia sudah mula bertugas sebagai warden, dia akan mudah
melupakan Khalid. Semoga!
Dunia ini
sempit terasa bila asyik terkenangkan kisah lalu. Ke mana pergi pun, bayangan
lampau asyik mengekori. Rimas! Mohon bantuan –Mu Ya Rabb.
========
Sudah dua
hari Sarah berada di rumah Walid. Hatinya rasa sungguh bahagia. Setiap pagi
Sarah akan siapkan sarapan dan air kopi untuk ibu dan walid. Melihat senyuman
di bibir ibu dan walid yang langsung tidak lekang buat Sarah terkadang gelak
sendirian.
‘Apalah yang
aku cari selama ini. Hidup bahagia seperti ini aku jauhi. Allah! Aku mahu terus
di sisi mereka sehingga akhir nafas!’ detik hati Sarah penuh bahagia.
Syukur
perletakkan jawatannya diterima. Payah juga Tuan Safar mahu melepaskan Sarah.
Lama mereka bersoal jawab. Namun bila Sarah sebut tentang gangguan Khalid, Tuan
Safar tersandar.
“Owh, lelaki
yang selalu cari awak tu? Hari tu, Uwais ada bertekak dengan dia di tingkat
bawah depan lift kan?” soal Tuan Safar dengan dahi berkerut.
“Hah?
Bertekak ?” ujar Sarah terkejut. Dia teringat peristiwa tempoh hari selepas
pertemuannya dengan Nina.
“Iya. Dia nak
naik lift uga. Nak jumpa awak. Uwais cuba meminta dia balik. Lepas tu dia kata
Uwais ni pakwe awak lah. Tunang lah. Tapi entah apa si Uwais cakap, akhirnya
dia balik juga. Tapi dia siap bagi amaran tau dekat si Uwais.” Cerita Tuan
Safar lagi.
“Amaran apa
pula Tuan?” soal Sarah tidak puas hati.
“Macam dalam
drama tu, dia kata,- kalau aku nampak kau dekat dengan Sarah laig, siap kau!, ha
macam tu lah cerita dari Uwais.” Cerita Tuan Safar bersungguh.
Sarah hanya
menggelengkan kepala. Orang terpelajar macam Khalid tidak sepatutnya
berperangai macam gangster. Macam lupa diri pula.
“Tuan. Nanti
tuan sampaikan salam pada Akhi Uwais ya. Saya ucapkan terima kasih dengan
bantuan dia. Dan kirim salam pada isteri dan anak-anaknya juga ya tuan.” Ucap
Sarah. Dia sebenarnya teringin nak berjumpa dengan isteri Uwais. Kak Mariam
dulu banyak juga menolong Sarah menyesuaikan diri di Jordan.
Tiba-tiba Tuan
Safar menghela nafas agak panjang. Sarah memandang wajahnya ingin tahu.
“Awak tak
tahu ke?” soal Tuan Safar penuh hairan.
“Tahu apa
pula tuan?” Sarah menyoal kembali.
“Isteri
Uwais, adik saya tu, Mariam. Dia dah lama meninggal dunia. Dah tiga tahun dah.”
Berderau hati
Sarah. “Kak Mariam meninggal?”
“Ya. Semasa
melahirkan anak bongsu mereka, baru dapat tahu Mariam ada kanser. Dia mengalami
tumpah darah yang banyak semasa melahirkan dan meninggal tiga hari selepas
itu.”
“Allahu ya
Allah!” Hati Sarah seperti terhenyak. Tidak disangka dugaan Uwais begitu besar.
Mereka sangat bahagia semasa di Jordan. Kak Mariam seorang wanita yang sangat
cergas dan ceria. Sering berkongsi makanan. Mereka dah macam adik beradik waktu
itu.
‘Ya Allah!
Semoga Kau mengampuni Kak Mariam dan tempatkan dia dikalangan orang-orang yang
Kau beri rahmat.’ Doa Sarah di dalam hati. Dia sungguh terkejut dengan berita
itu.
“Jadi anaknya
macam mana Tuan?” tanya Sarah dengan rasa penuh getar.
“Anaknya yang
bongsu di bawah jagaan Umi saya. Anak yang sulung dan nombor dua tu Uwais jaga
sendiri. Sekarang ni Umi saya duduk bersama saya sebab rumah di kampung tu nak
buat renovation. Itu yang Uwais selalu ada di sini.”
Sarah
mengangguk perlahan. Dia teringat kenangan bermain dengan anak-anak itu satu
masa dulu. Comel, bijak dan sangat mesra. Semoga Allah pelihara mereka dan
jadikan mereka anak yang soleh dan solehah semuanya.
“Sarah menung
apa tu? Eh kenapa mata berkaca ni? Kan walid dah kata, pagi ini ada mesyuarat.
Sarah dah siap ke?” Suara ibu buat Sarah terkejut.
“Hah, kenapa
muka sedih ni?” soal ibu lagi.
“Tak ada apa
ibu. Sarah Cuma teringat kawan Sarah, eh, arwah kawan Sarah.” Katanya penuh
rasa sedih.
“Arwah? Kawan
Sarah yang mana dah arwah tu? Ibu kenal ke?” soal ibu sedikit terkejut.
“Ibu tak
kenal. Sarah kenal masa kat Jordan. Ibu ingat tak yang Sarah cerita ada kakak
ni rajin masak dan bagi Sarah makan masa kat Jordan?”
“Haaa, ingat.
Dia ke yang meninggal?” tanya Ibu dengan dahi berkerut.
Sarah
mengangguk.
“Sarah baru
tahu minggu lepas. Padahal dah tiga tahun dia meninggal.” Jawab Sarah dengan
suara tersekat-sekat seakan mahu menangis. Sarah memang mudah menangis. Mudah
sungguh tersentuh dan bersedih. Ibu mendakap Sarah perlahan. Sarah kembali
tenang.
“Dah siap?”
Walid muncul dengan beberapa fail dan buku.
“Dah walid,”
jawab Sarah sedikit terkejut.
“Dah, jom.”
Ujar walid sambil terus menuju ke pintu.
Mereka hanya
berjalan kaki menuju ke Madrasah yang terletak selang dua rumah dari rumah
walid. Madrasah itu berada di atas tanah milik ayah Khalid. Selepas kematian
Atok Ayah, iaitu datuk kepada Khalid, ayah Khalid Dato’ Usman, telah mewakafkan tanah itu untuk dijadikan
Madrasah Tahfiz. Dato’ Usman meminta Walid menjadi orang yang bertanggungjawab
menguruskan Madrasah tersebut. Sejak ia di buka, sehingga kini, Walid telah
menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.
Walid
sayangkan Madrasah dan pelajar di situ sungguh-sungguh. Walid tak pernah ke
mana-mana sejak bertahun yang lalu. Walid hanya fikirkan hal Madrasah.
Melangkah
masuk ke bilik mesyuarat, belum ramai yang muncul. Mesyuarat dijadualkan
bermula pada pukul sembilan pagi. Sekarang baru pukul 8.30 pagi. Sebagai
pengurus di situ, pastilah walid datang lebih awal. Ada beberapa hal yang perlu
diselesaikan.
Walid
menunjukkan Sarah bilik pejabat warden yang akan digunakan oleh Sarah nanti.
Walid menyuruh Sarah melihat-lihat dahulu apa yang boleh dilihat di dalam bilik
itu. Sementara itu, walid ada sedikit perbincangan dengan kakitangan madrasah
sebelum bermulanya mesyuarat.
Hampir ke jam
sembilan, Sarah menuju ke bilik mesyuarat. Kemudian dia terlihat elibat
seseorang yang sangat dia kenali. Namun kemudian hilang. Puas Sarah menjengah,
tapi tidak juga kelihatan lagi.
‘Hish!
Perasaan apa lah ni!’ Tiba-tiba jantungnya rasa berdebar. Sangat kencang
debarannya. Sarah tidak mahu hiraukan dan terus duduk di salah satu kerusi
dalam bilik mesyuarat tadi. Kemudian dia terdengar suara gelak tawa beberapa
orang lelaki dari luar. Degupan jantungnya semakin laju. Seakan bakal meletup!
‘Ok, dah nak
mula.’ Detik hatinya. Dia perkemaskan duduk. Walid masuk diikuti Ustaz Jamal dan Ustaz Firdaus.
Kemudian Kak Zahrah, puan setiausaha. Dibelakangnya, Sarah kurang ingat namanya
tetapi biasa juga nampak.
Orang
terakhir yang masuk membuatkan jantung Sarah seakan terhenti. Khalid!
0 Ulasan