MUJAHADAH HATI SARAH - BAB 1

 

BAB 1


"Sayang ku mungkir pada kejujuranmu, menolak segala bahgia dihadapanku, kasihku mungkir pada kata janjiku, berlari aku jauh dari cintamu, ku kesali... ," mendayu nyanyian Sarah yang sedang memandu mengikuti alunan lagu di radio.

Tanpa dia sedari, ada airmata yang jatuh menuruni pipi. Hatinya rasa berat. Sebak. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini dia terasa begitu mudah tersentuh.

Radio keretanya dimatikan. Signal kanan dinyalakan. Segala pemanduannya berlaku mengikut naluri dan deria bawah sedar. Sedangkan otaknya menerawang entah ke mana.

Imbasan zaman remaja. Sekejap di sekolah tahfiz. Sekejap rumah walid. Menyinggah di semua tempat yang ada wajah dia. Tempat akhir sekali di dewan berlangsungnya pernikahan.

Bukan pernikahan Sarah. Tapi pernikahan Khalid. Hatinya membengkak. Hilang rasa. Rasa kebas. Jiwanya kosong. Marah yang tak terluah. Sedih yang tak terungkap. Rasa dikhianat dan di bohongi. Rasa berdosa kerana berharap pada janji seorang Khalid.

'Dia yang mungkir. Tapi aku kah yang salah ?' getus hatinya.

Tadi Khalid datang lagi ke pejabatnya. Khalid masih tidak puas hati dengan kata maaf dari Sarah.

"Sarah, saya tak percaya awak boleh maafkan saya macam tu aje. Saya buat salah besar Sarah. Saya janji nak kahwin dengan awak, tapi saya nikah dengan orang lain. Awak patut marah saya," ucap Khalid sambil mengekori Sarah yang menuju ke tempat letak kereta.

Sarah jadi geram. Apa lagi yang Khalid mahukan jika bukan kata maaf?

"Habis tu awak nak saya buat apa? Pukul awak? Kalau saya bunuh awak sekalipun, parut kat hati ni tak kan hilang Khalid. Baliklah. Awak ada isteri untuk dilayan," ucap Sarah lalu masuk ke dalam kereta.

"Sarah!" jerit Khalid sekuat hati.

Tanpa peduli, Sarah terus memandu keretanya pulang. Dia tinggalkan Khalid yang masih menjerit memanggil namanya.

Sarah sebenarnya masih keliru dengan Khalid. Namun dia belum bersedia mahu mendengar cerita sebenar dari Khalid.

Apa yang dia tahu, Khalid berkahwin dengan Nina bukan paksaan sesiapa. Khalid yang mungkir untuk bahagia dengannya.

‘Sampai hati awak Khalid. Awak janji dengan saya, awak minta saya untuk setia, tapi awak lupakan macam tu aje. Dan saat saya berusaha untuk terima yang awak bukan milik saya, awak kembalikan semula harapan pada saya. Apa awak nak sebenarnya?’ hatinya merintih.

Tanpa sedar basah sudah pipi Sarah dengan air mata. Dia memberhentikan keretanya di hadapan pagar rumah. Namun dia tidak mampu menghentikan air matanya yang terlalu laju mengalir.

Bunyi azan di telefonnya membuatkan dia tersentak. ‘Allahuakbar! Dah maghrib. Aku hanyut dengan cinta yang menghancurkan hati. Sedangkan yang memegang hati ini aku abaikan.’

Bingkas Sarah keluar dari kereta dan masuk ke dalam rumah. Selepas membersihkan diri, Sarah mendirikan solat maghrib. Habis solat dan zikir yang panjang, Sarah mengambil Al-Quran. Kemudian ada bunyi notifikasi di telefonnya.

'Ah, nantilah. Hati ini sedang tidak tenang. Aku nak mengaji sekejap,' bisik hati Sarah.

Selesai menghabiskan 4 muka surat Sarah menyimpan Al-Quran dan mengambil telefonnya. Ada mesej dari nombor yang tidak dikenali.

"Kau jangan layan Khalid tu Sarah. Kalau kau cair juga dengan pujukan dia, bersedialah untuk bermadu dengan aku."

Mesej itu tidak bernama, tapi sudah pasti Sarah boleh mengagak siapa yang menghantarnya. Sarah mengabaikan mesej itu dan menyimpan telekungnya. Kemudian telefonnya berbunyi.

Ibu!

Sarah telah menggunakan lagu khas untuk panggilan ibunya. Tanpa berlengah dia menjawab panggilan.

“Assalamualaikum ibu,” ucap sarah manja.

“Waalaikumsalam. Sarah dah solat? Dah mengaji?” laju pertanyaan dari ibunya.

“Dah bu, beres,” balas sarah sambi tersenyum walau ibunya tidak nampak akan senyumannya itu.

“Alhamdulillah. Makan apa malam ni?” tanya ibu lagi.

“Malas nak makanlah. Tak ada selera. Nak tidur terus lepas isya ni,” jawab Sarah panjang lebar.

“Haaa, ni mesti ada hal ni. Khalid kacau lagi ke?” tebak ibu dihujung talian.

Sarah hanya diam.

“Betul lah tu kan? Dia cakap apa lagi dengan Sarah tu?” suara ibu agak geram.

“Hmm, biarlah dia ibu. Malas lah nak cerita pasal dia. Ibu dengan Walid sihat?” Sarah cuba mengalih cerita.

“Sihat je kami ni. Sarah tak nak balik kampung ke? Balik terus. Ibu dengar, ada kekosongan jawatan guru mengaji kat sekolah agama ni. Tak payah lah nak kerja gaji besar sangat. Kita hidup tinggal tiga beranak ni je. Cukup je hasil kebun Walid kalau Sarah tak kerja pun.”

Panjang lebar pujukan ibu.

Sudah beberapa kali ibunya mengajak Sarah pulang ke kampung. Dulu alasannya di kampung tidak ada kerja boleh dibuat. Kali ini, ibu siap cerita tentang jawatan kosong pula.

“Alah bu, malulah Sarah tetiba nak jadi ustazah. Tak nak lah.” Begitu jawapan Sarah. Dia bukannya apa, dia tahu apa yang orang kampung selalu bercakap belakang tentang dia. Tidak mungkinlah dia mahu pulang dan menjadi ustazah pula nanti.

“Kamu tu dengar sangat cakap orang kampung kan. Tak berapa orang sangat lah yang bercakap tu Sarah. Ramai aje yang tak ambil kisah,” balas ibunya pula.

“Hmm, nantilah bu, Sarah fikir dulu. Ok lah bu, kirim salam Walid ya, nanti hujung bulan, lepas gaji, Sarah balik tau.” Katanya segera menghentikan perbualan.

“Ya lah. Jaga diri tu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam bu.” Sarah menghentikan perbualan.

=============

Pagi itu, dipejabatnya ada Kuliah pagi. Setaip khamis, bos Sarah akan panggil seorang ustaz untuk menyampaikan kuliah. Kuliah pagi itu menyentuh tajuk “Hati”.

“Hati ini boleh kita pandu jika kita tahu caranya. Bukan kita yang ikut kata hati. Sentiasalah berdoa kepada Allah yang memegang hatinagar tetapkan hati kita.” Begitulah ucapan terakhir ustaz tadi. Itu sajalah yang Sarah sempat dengar kerana dari saat dia sampai ke pejabat, dia asyik ke tandas. Perutnya meragam. Mungkin kerana dia tidak makan malam tadi.

Semasa keluar dari surau, tempat kuliah berlangsung, Sarah terkejut bila namanya dipanggil.

“Sarah?”

Sarah yang masih sedikit pening kerana melayan perut tadi menoleh.

“Eh, Akhi Uwais?” ujar Sarah dengan mata bulat.

“MasyaAllah, Dekat sini rupanya awak menyorok.” Ujar lelaki itu yang dipanggil Akhi Uwais oleh Sarah.

Sarah hanya tersenyum.

“Akhi ke yang berceramah tadi?” soal Sarah.

“Iya. Dipanggil pula. Segan ana ni. Bukanlah ana ni pandai sangat. Tapi, Bos Sarah ni sebenarnya abang ipar ana.” Balasnya menepuk bahu Bos Sarah.

“Oh ya ke. Tak sangka kecil sangat dunia ni. Masih guna ana-ana lagi ya?” ujar Sarah selamba.

“Eh, lupa pula. Bila jumpa kawan belajar, automatik keluar sendiri. Hehe.” Balas Uwais.

“Oh, sama tempat belajar ke?” Soal Bos sarah agak terkejut.

“Tempat belajar je sama. Tapi tak sama bidangnya.” Balas Sarah lagi.

“Ya betul tu.” Si Uwais mengiyakan.

Uwais itu sebenarnya lelaki yang dia kenali semasa belajar di luar negara. Hari pertama Sarah sampai di Jordan, dia langsung tidak tahu mahu tuju ke mana. Uwais lah yang menjadi wakil dari Universiti untuk menjemputnya di lapangan terbang.

Kemudian baru dia tahu Uwais adalah pelajar tahun akhir dan telah berkahwin di Jordan. Mereka sudah pun ada anak ketika itu. Pasti sudah besar anak-anaknya sekarang.

Sarah minta diri kerana perlu masuk ke pejabatnya. Hari ini, dia perlu bekerja di luar pejabat. Dia perlu mencari keberadaan saksi untuk kes yang bakal dibicarakan dua minggu lagi. Kes suami berpoligami namun lepas tangan, naik tangan dan tidak bertanggungjawab.

Kadang-kadang Sarah rasa geram dengan lelaki-lelaki yang ada kes seperti ini. Ada sebahagian tu bukannya tidak ada ilmu agama, malah ada yang bergelar ustaz pun tak lari dari masalah cerai-berai, lepas tangan dan tidak bertanggungjawab. Apa mereka ingat dunia ini dunia mereka untuk berbuat sesuka hati kah?

Haish! Panas pula hati Sarah. Dalam perjalanan menemui saksi, dia mendapat panggilan dari pihak pejabat kerana ada seorang client baru ingin berjumpa dengannya.

Maka sarah janjikan untuk bertemu selepas dia buat perjumpaan dengan saksi yang dia cari itu.

Alhamdulillah, saksi telah ditemui dan memberi kerjasama dengan sangat baik. Habislah kau lelaki tidak bertanggungjawab. Ada saksi bakal bawa keterangan padu. Kau tunggu nasib kau.

Sarah terus menuju ke restoran yang berdekatan dengan pejabatnya, di situlah dia telah berjanji untuk bertemu dengan client tadi. Dia akan berbual sambil mengisi perut. Lapar bukan main.

Dia mengambil kedudukan meja yang paling hujung dan agak terselindung dari pelanggan lain. Memang biasanya jika berbual dengan client, dia akan pilih meja itu.

Elok saja nasi ayam dan air tembikainya sampai, clientnya pun sampai.

“Assalamualaikum cik.”

“Waalaikumsalam, jemput duduk er Puan...?” balas Sarah sambil menanti nama dari client.

“Doktor Nina.” Jawab wanita itu. Dia duduk berdepan dengan Sarah.

Berkerut dahi Sarah bila memandang wajah wanita ini. Wajahnya sangat mirip seseorang yang Sarah pun tidak ingat siapa. Tapi dia pasti ada seseorang yang dia pernah jumpa.

“Saya isteri Khalid. Doktor Khalid,” ujarnya.

Berderau darah Sarah. Jantungnya terus berdegup kencang. Hatinya tiba-tiba terasa sakit.

“Kenal kan?” soalnya.

Sarah menelan air liur. Kini dia telah ingat siapakah wanita ini. Iya, memang isteri Khalid. Walau baru sekali dia melihat wajah itu, dia masih belum dapat lupakannya.

“Oh, kenal rasanya. Tapi ada apa nak jumpa saya?” dia berjaya mengawal emosi. Sarah cuba terlihat profesional.

“You jangan fikir I nak bercerai dengan dia pulak,” ujarnya sambil tersenyum sinis.

Kali ini, Sarah amati wajah wanita ini dengan sebaiknya. Wajah yang kini menjadi tatapan Khalid setiap hari. Matanya bundar, coklat cair, rambutnya disanggul rapi, hidungnya mancung, bibir seksi seperti Angelina Jolie, pipinya nampak gebu dan kemerahan, bukan kerana solekan. Solekan yang digunakan memang agak tipis. Kulitnya cantik, licin dan bersih.

‘Ah!’ keluh Sarah di dalam hati. Memang lah Khalid terpikat. Muka ala-ala artis.

“You tak payah tengok I macam tu. I tau I cantik. I tau you jealous,”ucapannya dengan nada suara mendatar namun keras dan penuh keyakinan .

“Hmm,” Sarah juga membalas sedikit sinis. Namun tidak dinafikan, ada sedikit rasa cemburu di hatinya. Patutlah semudah itu Khalid lupakan dia.

“I nak you dengar apa yang i nak cakap ni betul-betul,” ucap Nina sambil membetulkan duduknya. Kemudian dia menyambung lagi.

“I nak you kahwin dengan Khalid.” Katanya.

Hampir tersembur air tembikai yang baru Sarah sedut. ‘Biar betul dia ni?’

“Maksud awak?” soal Sarah penuh tanda tanya.

“Kita bermadu,” jawab Nina selamba.

Berkerut dahi Sarah. Tersandar. Kusut terus fikirannya.

“Saya tak faham. Untuk apa?” tanya Sarah minta penjelasan.

“Untuk Khalid. You see, I am not the type to cook, to iron and kemas rumah all that. So Khalid a bit annoyed. Since Khalid dah terkejar-kejarkan you sangat, and i think perempuan kampung, low standard macam you ni memang akan sesuai sangat to be that kind of wife right? I think you love to do all that sort of thing.” Jawabnya panjang lebar.

Panjang juga nafas yang perlu Sarah tarik.

Nina ini sangat berterus terang. Tidak sanggup untuk tunggu dia habiskan ayat, Sarah bangun.

“Well, Doctor Nina. I am really sorry to know that Khalid is annoyed with you but no. I am that kind of woman if i am married to someone who love me. And i don’t think Khalid love me, so he do not deserve my devotion.” Jawab Sarah dan terus berjalan meninggalkan Nina.

“Well, i percaya you akan cair juga dengan pujukan Khalid nanti. He is very good in words you know. I am waiting for your big day,” ucap Nina dengan suara sedikit tinggi. Mungkin untuk memastikan Sarah boleh mendengarnya.

‘Gila lah perempuan ni!’ pekik Sarah dalam hati.

'Tak boleh ke mereka tak kacau hidup aku? Aku tak pernah nak kacau hidup mereka pun. Apa gila perempuan tu? Psiko ke? Dah pemalas, nak suruh aku jadi hamba pulak ?'

Bebel Sarah di dalam hati.

Benar, Sarah masih sayangkan Khalid. Tapi dia sedar dia tidak patut merebut cinta Khalid. Tidak semudah itu dia mahu terima 'pinangan' dari isteri Khalid.

Dia bukan gilakan Khalid. Khalid sudah jadi kenangan dalam hidupnya. Dia telah redha dengan ujiannya. Dia telah berusaha menghilangkan rasa cinta dan sayang kepada Khalid dengan pelbagai cara.

Sampai di pejabat, langkah Sarah terhenti.

Dia ditegur oleh seseorang.

"Dah selesai urusan ya?" Allah. Dia kenal suara itu.

"Astaghfirullahal'azhiim, apa masalahnya lagi ni Khalid ?" bentak Sarah.

 

 

 

 

Ayu Rashidah @ Cik Ayu

Nama sebenar Cik Ayu ialah Rashidah, tapi mak ayah dah panggil Ayu dari kecil lagi. Dah berusia 40 tahun pun. Ok, Cik Ayu berbisnes di rumah saja. Di Ulu Tiram, Johor. Bisnes utama ialah Freelance Designer/ghostwriter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan