HANA SOFIYA - BAB 2

 BAB 2

Oleh kerana ada majlis di rumah ibu, hari ini Hana terus mengenakan baju yang sesuai tapi sederhana. Skirt labuh berwarna biru, blouse putih dan tudung bawal bidang 55 berwarna biru senada dengan kain.

‘Ok lah ni rasanya.’ fikir Hana.

Hana menuruni anak tangga dan terserempak dengan ibu.


“Hana kerja jugak? Sekejap lagi dia orang semua sampai tu,” ujar ibu dengan nada sedikit kecewa.

“Ya Allah ibu, Hana dah cuba dah, tapi manusia mana entah, janji tak tepati. Cakap nak jumpa semalam, tapi dia tangguh ke hari ni. Ibu tahulah Dato’ Hisham tu macam mana kan,” Hana cuba memujuk ibu. Wajah ibu mula mencuka.

“Ok, macam ni bu. Selesai saja temujanji tu, Hana terus balik, ok ?” ibu mengangguk dan terus berlalu. Merajuklah tu. Tapi tiada apa yang boleh Hana lakukan. Ini hal kerja, syarikat milik orang lain, bukan milik  sendiri.

Sesampai saja Hana di pejabat, Tina sambut dengan senyuman yang meleret-leret.

“Kau kenapa? Macam kerang busuk nau-nau dah aku tengok,” ujar Hana hairan.

Pelik sungguh muka Tina hari ini. Meriah semacam.

“Orang yang di tunggu dah tiba,” kata Tina masih lagi tersenyum.

“Dah tu?” balas Hana yang masih tidak dapat memahami senyuman Tina.

“Dia kacak gila Cik Hana, ya Allah, boleh jadi calon untuk Cik Hana tu, sesuai sangatlah,” ujar si Tina sedikit terloncat-loncat dengan wajah teruja.

“Dah macam beruk aku tengok ko ni Tina, terkinja-kinja, dah lah, aku nak masuk,” balas Hana dengan dahi yang berkerut.

“Alahai Cik Hana ni, tak sporting tau.” bebel Tina lalu duduk.

“Lepas 5 minit, kau minta dia masuk ye, Nama dia apa ye?” soal Hana sebelum melangkah masuk ke biliknya.

“Namanya Hazrul, Encik Hazrul,” balas Tina dengan yakin.  “Ok,” jawab Hana lalu menolak pintu bilik dan masuk.

Sebenarnya, mereka diarahkan untuk memulakan perbincangan membuat satu kertas kerja bagi usahasama yang bakal dijalankan antara syarikat tempat Hana berkerja, Mega Hijrah Corp dengan syarikat Indah Setia Resources. Hana diberi tugas sebagai Pengurus Projek, dan pihak mereka menghantar wakil untuk membantu dia menyelesaikan kertas kerja tersebut.

Jika kertas kerja itu diterima, bakal sibuklah Hana selepas ni. Hanya wajah ibu yang Hana bayangkan. Bila terlalu sibuk nanti, tentu ibu akan sunyi di rumah. Pasti juga ibu akan sibuk mengingatkan supaya kahwin. Biar tak payah kerja yang begini lagi. Ibu seorang yang paling tidak suka bila Hana balik kerja lewat. Ibu risaukan Hana sebenarnya.

Tok! Tok! Bunyi ketukan pintu.

“Ya, masuk.” lafaz Hana sedikit tegas. Kononnya mahu tunjuk sedikit garangnya. Dia masih berasa geram kerana orang itu menangguhkan temujanji yang sepatutnya sudah selesai semalam.

Kuak pintu terdengar perlahan dan Hana pun mengangkat wajah sambil memberikan senyuman kepada tetamu yang ditunggu.

Allah! Tiba-tiba pandangannya gelap. Hana terasa kepalanya berat. Tubuhnya langsung tidak berasa. Hana tidak dapat mendengar dengan jelas suara yang bercakap-cakap. Seperti namanya dipanggil. Tiba-tiba wajahnya terasa basah.

“Ehh! Apa ni?! Ya Allah, apa kau buat ni Tina?” Hana terkejut selepas terasa wajahnya basah.

“Errr, Encik Hazrul suruh saya sapukan air di wajah Cik Hana, Cik Hana pitam tadi.” balas Tina takut-takut.

Hana hanya mampu terlopong mendengar kata-kata Tina. ‘Eh ye, mana lelaki tadi ? Hilang ke dia ?’ getus hati Hana.

“Mana dia ?” tanya Hana sedikit berbisik.

“Tuuu,” muncung mulut Tina menunjukkan ke arah belakangnya. Tiba-tiba Hana seperti terasa mahu pitam  sekali lagi, tapi ditahan Tina.

“Tak apa Tina, tolong bawakan kami kopi dua cawan ya. Terima kasih.” Hana cuba mengawal dirinya.

‘Allah! aku tak ok sebenarnya!’ suara hati Hana. Dadanya rasa sesak, nafasnya tersepit di kerongkong. En Hazrul itu, duduk di hadapan Hana tanpa dipelawa.

“Hai awak, kan saya dah kata, saya cari awak.” Suara lelaki itu seakan mencabut jantung Hana.

“Hafiz…..”, itu saja yang mampu Hana lafazkan. Dia jadi benar-benar kelu. Tidak tahu mahu berbuat apa.

‘Ya Allah! Rasa seperti mahu menangis, mahu melompat, mahu menjerit, mahu ku peluk, ehhh, tak boleh, haram. Patutkah aku gembira? Atau perlu tak berlagak sedikit sombong, atau buat-buat tak kenal ?’ begitu rasa hati Hana yang libang libu.

Jemarinya mula dimain-mainkan. Sesekali mengetuk-ngetuk meja. Bola matanya pula semakin tiada arah. Seperti tiada tempat untuk memandang. Jantung yang seakan terhenti tadi berdegup semakin kencang. Hana merasakan semacam kepanasan diseluruh wajahnya. Mata lelaki itu sejak tadi merenung sangat dalam sehingga Hana hilang punca.

‘Apa patut aku katakan ya? Apa reaksi paling logik sekarang ya ?’ fikirnya.

Entah macam mana Hana boleh terlupakan nama HAZRUL HAFIZ.  Waktu Tina sebutkan nama Encik Hazrul tadi, langsung dia tidak terlintas tentang lelaki ini. Yalah, tidak ada sebab dia ada di sini. Tidak langsung ada pembayang tentang kehadirannya hari ini!

Munculnya dia masih dengan sikapnya yang dulu. Sangat bersedia, sangat ceria dan sangat bijak mengawal suasana.

“Hana, awak macam tak seronok saja jumpa saya ?” ucapnya sambil tersenyum. Kelihatan lesung pipit panjang ala-ala Brad Pitt bila senyumnya melebar.

Senyuman manis yang selalu Hana terpandang dikala sunyi. Senyuman manis yang selalu Hana nafi merindukannya. Senyuman yang sentiasa ikhlas dari hatinya.

“Eh, Hana, nak pitam lagi ke?” ujarnya dengan kening sedikit terangkat.

‘Ah itulah dia. Suka mengusik, suka buat aku malu-malu, suka buat aku tak mampu bertentang mata dengannya,’ bisik hati Hana.

“Hana, awak memang suka buat saya bercakap dengan kerusi meja ye? Awak nak membisu sampai bila ni?” soalnya lagi.

Hana seperti tersentap. ‘Ya Allah, aku fikir aku mimpi tadi. Benar-benar terjadi rupanya semua ini.’ Bisik hatinya lagi.

Melihat tepat ke matanya yang bersinar-sinar, seakan ada bunyi “ting” dengan sinar cahaya di hujung mata. Seperti dalam kartun jepun itulah.

“Hafiz…,”cuba berbicara namun masih kelu.  

'Ya Allah, saya sebenarnya, tak tahu nak cakap apa. Macam mana ni, ya Allah..!' Kata Hana sedikit bermonolog namun dapat didengar Hafiz.

“Rasanya, kita tak dapat nak jalankan mesyuarat dengan baik dah ni. Saya tengok awak dah macam terapung je ni?” ujarnya pula sambil mengelipkan matanya beberapa kali.

Bulat mata Hana mendengar ayat yang keluar dari mulut Hafiz.

“Ok Hana, awak ambil ini, dan simpan pendrive ini. Saya dah siapkan kertas kerja tu untuk awak. Awak boleh semak semula sebelum present pada boss minggu depan. Kalau tak ada apa nak ubah, yang ni proposal yang saya dah cetak dan 'binding'kan. Jangan risau, saya dah simpan salinan saya. Tapi kalau awak nak ubah, awak kena buatkan salinan untuk saya juga ye.”

Hana melopong dan terkelu.

“Saya dah tahu apa reaksi awak, jadi, saya dah prepare semua ni.” sambungnya lagi membuat Hana bertambah gusar dan tidak boleh berfikir. Adakah sebenarnya  dia sudah merancang lama untuk pertemuan ini ?


“Eh, nanti sekejap. Sebenarnya bila awak buat semua ni dan sejak bila awak kerja dengan Indah Setia ni?” Hana rasa Hafiz sudah tahu mengenai projek ini dari awal. Mungkin juga dia yang sengaja aturkan semua ini? Seingat Hana, si Hafiz memang seorang yang suka buat kejutan.

“Awak ni masih ingat lagi saya orangnya macam mana ya. Maknanya, saya masih ada dalam hati awaklah, kan?” ujarnya sambil mengenyitkan mata.

“Hafiz, awak ni kan,” Hana kehilangan kata-kata. Dia tidak tahu apa patut dia katakan, betul-betul tidak tahu.

“Senyum, tak perlu kata apa-apa, senyum, haaa ingat tak lagu tu. Sekarang jom, saya tahu famili awak sedang menunggu kan. Ok yang ni saya tak tahu, tapi Cik Tina kat luar tu yang bagi tahu semalam bila saya nak tangguhkan appointment kita ke hari ini. Tapi saya terpaksa juga minta ditangguh ke hari ini sebab saya dah janji dengan awak nak cari awak bila umur 30, kan?”

Hana hanya gelengkan kepala. Hafiz memang tidak berubah. Sentiasa peka, prihatin, memahami dan pandai mencungkil rahsia walaupun dari orang yang tidak dikenali.

“Ok, sebelum nak tanya awak benda lain, saya cuma nak pastikan, betul ke awak ni personel yang dihantar untuk membantu saya oleh Indah Setia ?” Entah kenapa, dalam banyak hal, itu yang disoalkan kepada Hafiz.

‘Hish Hana!Apa lah kau ni!’ dia memarahi dirinya sendiri .

“Betul lah, kan dah siap pun proposal tu. Saya dah jalankan tugas saya dengan terlebih baik dah, kan ?” katanya sambil menyilangkan kaki.

“Maknanya, kita akan jumpa lagi lepas ni?”

‘Ya Allah, gelojoh sangat ke aku ? Macam mana boleh tersoal perkara begitu ?’ Hana sedikit menggeleng, menyesali soalannya tadi.

“Mestilah, kalau tak, nanti kita kena marah dengan Boss, ini projek usahasama pertama antara boss awak dengan boss saya,”ujarnya sambil tersengih.

Tiba-tiba dia bangun.

“Dah jom, balik. Awak kena balik cepatkan?” Hana mengangguk. ‘Ya Allah terujanya nak balik!’ jerit hana dalam hati.

Hana terus mencapai barang-barangnya dan menuju ke pintu. Hafiz pula bergegas menuju ke pintu dan membuka pintu untuk Hana. Pandangan mereka saling bertaut.

Wajah Hafiz yang manis itu sangat tenang. Wajah yang Hana rindui sekian lama. Raut wajah yang sering dia terbayang setiap kali matanya terpejam. Bertahun lamanya Hana diamkan di dalam hati. Bertahun lamanya Hana berbisik sendiri, 

‘Carilah aku Hafiz, carilah aku, aku sentiasa tunggu kau.’ Rindunya bukan kepalang. Baru Hana sedar yang dia tersangat sayang pada manusia bernama Hazrul Hafiz ini.

Tiba-tiba air hangat mengalir menuruni wajah Hana. Segera diseka agar tidak terlihat. Hafiz mengenyitkan sebelah matanya. Hana senyum lagi dan terus melangkah meninggalkan ruang pejabat.

“Eh? Dah siap Cik Hana ?” Suara Tina buat Hana terkejut dan hampir saja terlanggar dinding.

‘Ya Allah, aku lupa pula ada Tina, teruknya aku bila terlalu teruja.’ Hatinya bersuara sendiri.

“Eh, haa, ya Tina, dah siap, aku balik dulu ya, kau pun, kalau dah tak ada apa-apa, boleh tinggalkan pejabat.” Pasti Tina gembira boleh balik awal. Tentulah, sebenarnya hari ini hari cuti, tapi kerana mahu selesaikan tanggungjawab ini, mereka datang berkerja.

Hana berjalan di belakang Hafiz menuju ke ruang meletak kereta. Hafiz berjalan terlalu laju, sampai tidak terkejar langkah Hana yang pendek-pendek kerana kain labuh yang dipakainya itu.

‘Eh dia ni kan, dah lah dah lama tak jumpa, lepas tu main tinggalkan aje orang macam ni. Baru jumpa dah buat orang geram tau. Erghhh!’

Langsung tidak menoleh pada Hana lagi, dia menyarung terus topi keledar dan menaiki motorsikalnya yang berkuasa tinggi. Wahhh!

Hana masih ingat lagi, semasa di kolej dulu, Hafiz memang pernah berangan-angan mahu dapatkan sebuah motor berkuasa tinggi seperti ini. Alhamdulillah! Hana gembira bagi pihaknya kerana anganannya tercapai. Tapi tengoklah tu, dia langsung tidak mahu menoleh pada Hana lagi.

Bagai ada sesuatu yang dia kejarkan. Seperti ada yang menunggunya. Tak mengapalah, Nanti bila jumpa lagi, boleh tanya dia,  Eh, eh,eh, tiba-tiba bunyi mesej masuk.

“Ini no. fon saya. Simpan tau, sorry nak cepat, ada hal. By the way, cantik awak pakai macam tu.” – Hafiz

Ahhh! Lebar senyuman Hana, rasanya tidak cukup pipi untuk senyum. Hana sangka dia tidak ambil kisah lagi. Hana sangka dia tidak peduli. Hafiz memang begini, suka benar buat hati wanita Hana cair. Seakan melayang hati Hana mengejar motorsikal Hafiz yang telah lama hilang dari pandangan. Mengada sungguh!


Ayu Rashidah @ Cik Ayu

Nama sebenar Cik Ayu ialah Rashidah, tapi mak ayah dah panggil Ayu dari kecil lagi. Dah berusia 40 tahun pun. Ok, Cik Ayu berbisnes di rumah saja. Di Ulu Tiram, Johor. Bisnes utama ialah Freelance Designer/ghostwriter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan