HANA SOFIYA - BAB 3

 BAB 3


Kereta Hana meluncur laju meninggalkan pejabat. Laluan lalulintas agak lengang kerana hari ini ramai yang bercuti. Hari sabtu. Petang atau malam barulah lalulintas mula sibuk. Oleh kerana terlalu lengang, tidak sampai setengah jam Hana tiba di rumah ibu.

Belum sempat Hana masuk, Kak Long sudah pun menerpa.

“Hana! Dalam diam ye, tak cerita dengan Kak Long pun tau.”  Dicubit-cubitnya lengan Hana.’ Apa hal pulak Kak Long ni ye?’ Hana mula hairan.

“Dah cepat masuk, ibu dah tunggu kat dalam tu. Jom kita potong Birthday cake Hana.” Ujar Kak Long sambil tangannya menarik tangan Hana.

Hana yang masih keliru terus melangkah masuk. Allah! Tiba-tiba sekali lagi dia rasa seperti mahu pitam tapi dia cuba mengawal dirinya.

‘Boleh mati sakit jantung aku hari ini, tidak habis-habis dengan kejutan. Hamba Allah tu ada ?! Di rumah aku ni? Eh betul ke aku balik rumah aku ni?’ kecoh suaranya di dalam benak.

“Hana, sini jom, potong kek.” Ibu tarik tangan Hana menuju ke meja yang penuh dengan bermacam hidangan, dan terlihat kek berbentuk hati terhias cantik di situ. Kegemaran Hana, Chocolate Indulgence. Eh, di sebelahnya ada satu kek lagi, Snowy Cheese Cake. Itu pun Hana suka, cuma tidaklah seperti dia suka yang satu lagi itu.

“Hana potong yang coklat tu dulu tau, sebab dia tu yang belikan.” Ibu  muncungkan mulutnya menunjuk ke arah Hafiz yang dari tadi tercegat di situ dengan senyuman yang tidak putus-putus.

Hana sudah mula pening. Dia rasa keliru, langsung tidak boleh berfikir. Dalam keadaan tidak sedar dan seolah berada dalam dunia fantasi, Hana pun memotong kek. Semua orang terlihat gembira. Wajah ibu sangat bahagia. Adik beradik Hana semua juga ceria.

Namun dihatinya ada rasa yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Seperti sedang terbang di awangan. Debaran kencang tidak boleh berhenti. Hana pandang wajah Hafiz, dia tenung dalam, jauh hingga ke pangkal hatinya.

‘Adakah ini nyata? Hafiz yang aku rindu, yang aku tunggu ada di depan mata ? Adakah kau hadir kini untuk menepati janjimu dulu ?’ Hana seakan bercakap dengan Hafiz.

Hafiz mendekat seolah mendengar apa yang ada dalam fikiran Hana.

“Jom, kita sembang kat luar. Saya dah minta izin dari Ibu, Ibu tak kisah tu.” Seperti dipukau, Hana mengikut jejak Hafiz menuju ke luar rumah. Di halaman rumah ibu ada gazebo comel. Mereka melabuhkan punggung di situ.

“Saya tahu awak keliru, dan tak tahu nak respon apa kan?” suaranya yang tenang memulakan perbualan. Hana mengangguk perlahan sambil tangannya mengusik-usik daun kecil ditepi gazebo itu. Hatinya berdebar. Jantung Hana terasa panas dan berdegup sangat kencang. Tapak tangan mula terasa berpeluh.

“Awak. Saya dah tak nak bazirkan masa. Masa kita dah banyak terbiar begitu saja. Kita mulakan semuanya dengan betul. Semula. Lebih baik insyaaAllah. Macam mana?” Matanya pula cuba masuk ke lubuk hati Hana yang sedang meloncat-loncat, entah gembira ataukah tidak percaya.

“Awak tak nak dengar jawapan lain kan selain ok dari saya?” Soal Hana sedikit gementar. Sudah lama hatinya tidak bergetar seperti hari ini.

Hafiz senyum, senyuman paling indah setelah sekian lama tidak terlihat di depan mata Hana.

Sebenarnya ini adalah hari yang paling Hana tunggu. Cuma selama ini dia tidak mahu terlalu berharap. Hana anggap ia hanyalah impian yang tidak mungkin tercapai.

"Jadi awak belum kahwin?" Soal Hana pula.

Hafiz membalas dengan senyuman lagi. Mengiyakan tidak, menyangkal pun tidak.

"Saya dah janji nak cari awak kan ?" Jawapannya yang berbentuk soalan itu seolah menjawab semua yang ada dalam fikiran ini. Janji itu yang membuat Hana hidup seperti hari ini. Janji itu yang menguatkan semangat bahawa dia tidak akan sendiri.

Jadi perlukah ada persoalan lagi bila dia datang mengotakan janji ?


Semua tetamu sudah pulang. Kak Long pun sudah pulang. Abang Ngah pun sudah pulang. Urusan mengemas juga telah selesai. Tinggal lah Hana dan adik anak beranak di rumah ibu. Ibu dari tadi tidak habis-habis dengan senyuman.

“Alhamdulillah, siap pun kita mengemas.” Ujar adik dan terus duduk disebelah Hana. Ibu yang berdepan dengan Hana tersengih, sampai tidak terlihat matanya.

“Hana, ibu rasa syukur sangat. Hari ni, Allah dah tunjukkan, doa ibu bakal termakbul dalam sebulan aje lagi.” Kata ibu pada Hna. Hana hanya senyum mengetap bibir.

“Ibu, tak rasa cepat sangat ke semua ni? Tiba-tiba aje. Tak kelam kabut ke?” tanya Hana sambil merenung wajah ibu.

“Taklah, ibu rasa macam lambat sangat, kalau boleh minggu depan terus.” ujar Ibu masih menyengih.

“Allah, ibu ni. Macam tu sekali ke? Desperate sangat ke Hana ni?” balas Hana dengan kening berkerut.

‘Aku tahulah aku sudah berumur 30 dan belum berkahwin. Tapi macam cepat sangat pula,’ getus Hana dalam hati.

“Hana tak desperate, ibu yang desperate. Hihihi.” Ibu bangun dan menyuruh adik ke tepi lalu duduk di sebelah Hana.

“Hana, Hafiz dah cakap dengan ibu. Dia kata, dah lama dia buat persediaan. Tinggal jalankan aje. Hana tak payah fikir apa-apa. Siapkan diri, mental dan fizikal aje. Faham tak?” suara ibu dengan nada lembut. Memujuk.

Hafiz. Ya lah. Kalau Hafiz yang cakap begitu, Hana memang tiada alasan lagi. Hafiz memang jenis yang sentiasa bersedia dan sentiasa dah ada persiapan. Namun ada sesuatu di dalam hati Hana. Cuma dia tidak dapat jelaskan apakah ia.

“Ibu, sebenarnya dah tujuh tahun Hana tak jumpa dengan Hafiz ni. Hana tak pastilah bu. Memang selama ini Hana tunggu dia, tapi, bila dia ada di depan mata, Hana tak tau apa yang Hana rasa.” Kata-kata Hana membuat air muka ibu berubah.

“Kenapa macam tu? Hana rasa dia tu tak betul ke mcam mana ni? Ibu tengok Hafiz tu baik je. Sopan, manis, murah dengan senyuman. Setia lagi.” Kata ibu pula membuatkan Hana sedikit ketawa. Berkenan bukan main lagi ibu dengan Hafiz.

“Ya bu. Memang dia tu baik sangat. Tapi, dah lama tau Hana tak jumpa dia. Mana lah tahu ada perubahan yang Hana tak nampak lagi.” Kata Hana penuh risau.

“Hana istikharah lah ye. Tapi, hati ibu ni berat mengatakan okey je. Mana nak cari orang yang pegang janji macam tu?” ibu cuba memujuk.

Hana diam. Dia mengingatkan semula raut wajah Hafiz. Saat pertama kali Hafiz muncul di pintu bilik pejabatnya tadi Hana sudah terpempan. Terasa seperti berada di awangan. Lelaki itu merupakan satu bentuk hadiah yang sangat dia nantikan.

“Ibu rasakan Hana, katalah arwah ayah masih ada, dia pasti suka.” Lafaz ibu perlahan. Mata ibu nampak berkaca. Allah! Bila ibu sebut tentang arwah ayah, Hana terus rasa pasrah. Mengalah.

“Ok lah, dah dah, jom kita semua mandi. Sekejap lagi nak maghrib dah.” Ujar ibu lalu bangun dan terus menuju ke dapur.

 

Hana pasti ibu mahu mengelak dari menangis di hadapannya. Ibu itu, kuat. Namun dia selalu saja mudah sedih bila menyebut tentang ayah.

Ayah pergi tanpa ibu duga. Pagi itu, selepas menghantar Hana dan adik ke sekolah, ayah pergi bekerja seperti biasa. Namun pukul 9.30 pagi, Hana disuruh kelular dari kelas dan mengikut jirannya pulang ke rumah. Di rumahnya sudah ramai yang berkumpul. Bila dia melangkah ke dalam rumah, dia lihat sekujur tubuh terbaring kaku. Ditutup dengan kain batik lepas yang baru.

 

Hana terduduk seakan tidak percaya. Ayah dikatakan telah dilanggar oleh sebuah lori tanah yang keluar dari hujung kampung. Ayahnya tidak dapat mengelak dan telah menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian. Sejak itu, ibulah menjadi ayah bagi mereka adik beradik.

Hana faham perasaan ibu. Tidak seorang pun anak-anak ibu yang berkahwin dengan kehadiran seorang ayah. Teman rapat ibu dulu kuat memujuk agar ibu berkahwin lagi untuk membesarkan anak-anak. Ada yang sudah membawa calon untuk berkenalan dengan ibu. Tidak satu pun yang ibu terima.

Ibu tegas mengatakan rezeki mereka anak beranak tetap ada. Allah yang beri, bukan makhluk. Ibu tidak mahu menggantikan tempat ayah. Ibu kata pada Hana dan adik beradiknya yang lain, ibu hanya mahu jumpa ayah saja di syurga, bukan orang lain. Biar lah ibu berpenat lelah membanting tulang membesarkan anak-anaknya.

Ibu langsung tidak pernah meminta simpati pada sesiapa pun. ‘Ada sedikit kongsikan, ada banyak dibahagi-bahagikan,’ begitu pesan ibu setiap kali di depan makanan.

 

“Kak,” suara adik mengejutkan Hana. Adik duduk semula ke sebelah Hana.

“Kak Hana, ceritalah, dari mana mamat yang tak jemu mata memandang, tak habis-habis nak rasa sayang tu datang.” Katanya sambil menggoncang tangan Hana.

“Hahahaha, adik ni, ingat lagi ayat tu?” Ayat itu pernah Hana sebut pada satu masa dulu. Waktu itu, adik bertanya, orang macam mana yang Hana idamkan jadi suami. Itulah jawapan Hana, ‘orang yang tak jemu mata memandang, tak habis-habis nak rasa sayang.’

“Ingatlah kak. Kak Hana ni tak nak cerita ke? Malam ni, lepas isya, wajib cerita kat adik tau. Adik tidur sini malam ni.” Ucap adik tegas.

“InsyaaAllah, tak janji tau, kalau penat sangat akak tidur dulu.” Hana mengenyit mata pada adik.

“Adik kejut kalau kak Hana tidur. Jangan ngelat. Okey jom mandi, nanti mak bising. Orang dah nak berlaki ni, kena rajin mandi tau.” Dia cepat-cepat bangun sambil pantas jarinya mencubit pipi Hana. Hana hanya tersenyum.

Adik memang rapat dengan Hana. Semua kisah dia, akan dikongsikan dengan Hana. Begitu juga kisah Hana, semuanya adik mahu tahu. Mereka berdua seperti kembar. Jarak umur 2 tahun langsung tidak terlihat.

Hana sebenarnya masih lagi dalam keadaan terkejut, tidak percaya dan terpinga-pinga. Lelaki manis berkacamata yang dahulu pernah menjadi penguat semangat dan pendorong yang sentiasa percaya akan dirinya kini telah kembali.

Setelah tujuh tahun mereka terpisah begitu sahaja tanpa khabar berita. Tanpa tahu apa yang terjadi dalam hidupnya.

Kini dia hadir memekarkan semula rasa rindu dan sayang yang telah sekian lama terpendam. Menerbitkan semula rasa cinta yang telah lama terbiar tanpa dirawat. Menjadikan hati yang semakin kering kembali bermaya.

 Dia membawa janji untuk dikotakan. Membawa sayang untuk dijalinkan. Namun hati Hana masih tidak pasti, benarkah tiada halangan untuk mereka bahagia selepas ini ? Tiada lagi duka mengiringi hidup mereka ?

 Hana tentu saja tidak pasti. Mana ada manusia yang tahu masa depan. Segala yang bakal berlaku tiada siapa boleh menelah. Sesaat kehadapan pun tidak dapat diagak, inikan pula masa hadapan?

Cuma Hana masih ragu. Entah kenapa Hana tidak puas hati dengan jawapan Hafiz tadi.

‘Mengapa dia tidak menjawab soalan tentang status perkahwinannya ? Mungkinkah dia telah berkahwin? Mungkinkah dia hadir hanya kerana simpati pada aku yang belum laku?’

 

 

 

 

Ayu Rashidah @ Cik Ayu

Nama sebenar Cik Ayu ialah Rashidah, tapi mak ayah dah panggil Ayu dari kecil lagi. Dah berusia 40 tahun pun. Ok, Cik Ayu berbisnes di rumah saja. Di Ulu Tiram, Johor. Bisnes utama ialah Freelance Designer/ghostwriter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan